KUALA SELANGOR – Pembinaan stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi jajaran Puncak Alam, di sini akan diteruskan seperti biasa.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, isu itu tidak timbul kerana cadangan penambahan stesen itu sudah mendapat kelulusan daripada kerajaan, Jun lalu.

“Perkara itu dibincangkan bersama Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), enam bulan lalu.

“Saya sebelum ini hanya mengutarakan cadangan pembinaan stesen ECRL itu selepas menerima permintaan daripada penduduk Puncak Alam.

“Alhamdulilah, projek itu diluluskan dan akan tetap diteruskan oleh kerajaan,” katanya ketika ditemui pada program Hari Keluarga Bandar Puncak Alam, di sini, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan kereta api ECRL yang dijangka beroperasi pada 2027 itu mampu menampung 5.6 juta penumpang setahun atau maksimum 440 penumpang bagi setiap perjalanan menerusi enam gerabaknya.

Jajaran ECRL itu melibatkan Selangor iaitu Seksyen C akan dibahagikan kepada dua iaitu Seksyen C1 dari Mentakab ke ITT Gombak dan Seksyen C2 dari Gombak ke Pelabuhan Klang melalui Serendah.

Bagi Seksyen C2, ia melibatkan jajaran sepanjang 74.25 kilometer (km) yang merangkumi empat stesen iaitu Serendah Baru (penumpang dan kargo), Puncak Alam (stesen penumpang), Kapar (stesen penumpang) serta Pelabuhan Klang (penumpang dan kargo).

Jelas Tengku Zafrul, stesen baharu ECRL itu akan dibina di sekitar kawasan Alam Suria, Puncak Alam, di sini.

“Namun, saya tidak pasti bila pembinaan itu akan dimulakan tetapi ia masih diteruskan setakat ini.

“Saya harap pembinaan stesen itu boleh memberi manfaat kepada penduduk daerah ini terutama menjana ekonomi dan peluang pekerjaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette