SEBERANG PERAK – Menampilkan calon berpontensi yang mampu mengangkat Tasek Gelugor hingga ke persada dunia lebih ditekankan Perikatan Nasional (PN) berbanding soal calon luar.
Penyandang kerusi Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya berkata, isu calon luar bukan masalah besar, sebaliknya rakyat perlu menilai kemampuan calon itu membawa perubahan dan pembangunan di peringkat nasional serta antarabangsa.
Selain itu, beliau turut menyifatkan calon PN bagi Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang menggantikannya itu sebagai calon amat berpotensi dan mempunyai keupayaan untuk menjadi pemimpin hebat buat penduduk kawasan Tasek Gelugor.
“Sebagai Ahli Parlimen kita bukan hanya dinilai dari segi perkhidmatan yang kita wakili tetapi ia amat penting ialah untuk berjuang, bertugas sebagai pembuat dasar di peringkat parlimen, mengetahui sistem, pengurusan dan pentadbiran negara.
“Alasan tidak dapat berjumpa dengan wakil rakyat pada zaman sekarang bukan isu kerana kemodenan yang ada dapat menghubungkan kita dalam beberapa saat sahaja.
“Masa saya jadi Ahli Parlimen dulu pun, saya bertugas di Kuala Lumpur tetapi urusan pentadbiran Tasek Gelugor tetap berjalan lancar jadi tidak timbul masalah sekiranya calon yang dipilih bukan daripada kawasan setempat,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan PN Tasek Gelugor di sini, hari ini.
Tambah beliau, komodenan teknologi dan kemudahan platform rangkaian internet serta media sosial dapat memudahkan orang ramai untuk berhubung dengan wakil rakyat mereka walaupun berada di luar kawasan.
Sementara itu, Wan Saiful berkata, beliau sudah berada di Tasek Gelugor sejak dua minggu lalu untuk sesi memperkenalkan diri dan bermesra dengan pengundi setempat.
“Apa yang boleh saya katakan setakat ini penerimaan masyarakat amat memberangsangkan,”katanya. – MalaysiaGazette