Khaled Nordin meluangkan masa bertemu komuiniti Felda di Felda Pasak Kota Tinggi petang tadi.

KOTA TINGGI – Calon Barisan Nasional (BN) Kota Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin secara berseloroh menyatakan beliau akan menduduki kerusi penting di dalam Parlimen sekiranya diberi mandat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 ini.

Namun, Naib Presiden UMNO itu berkata, beliau bukanlah terdesak untuk memikirkan soal jawatan sebaliknya mahu memberi fokus kepada isu-isu rakyat terlebih dahulu.

“ You Perdana Menteri ke? Yalah saya ini top 5 kan kurang-kurang takkanlah nak beri saya kementerian ‘selekeh’,” jelasnya ringkas.

Khaled memberi jawapan secara berseloroh ketika ditanya pemberita mengenai desas desus yang mendakwa bekas Menteri Besar Johor itu bakal memegang jawatan penting di dalam Kabinet sekiranya menang dalam PRU-15 ini.

Terdahulu beliau menghadiri majlis bersama Komuniti Felda di Felda Pasak Kota Tinggi.

Dalam pada itu. Khaled berkata, beliau tidak akan mengambil mudah cabaran bertanding di kawasan Kota Tinggi, justeru akan bekerja kuat untuk menyumbang kepada kemenangan BN.

“Saya beri jaminan bahawa saya datang untuk menang. Yang memberi kemenangan sudah tentulah pengundi yang mahu perubahan yang akan saya bawa di sini,” ujarnya sambil menzahir terima kasih kepada kepemimpinan BN Kota Tinggi yang berjiwa besar menerima kehadiran beliau.

Pada PRU14 lalu, Khaled tewas mengejut di Parlimen Pasir Gudang.

Beliau turut tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas pada pilihan raya berkenaan.- MalaysiaGazette