Gambar hiasan

UMUMNYA sekolah merupakan sebuah bangunan yang berfungsi sebagai pusat pendidikan kepada para pelajar. Jelas, sekolah merupakan tempat kedua terpenting selepas rumah yang berperanan sebagai tempat aktiviti pendidikan dijalankan. Antara aktiviti utama yang boleh dilaksanakan adalah seperti pengajaran, pembelajaran, dan bimbingan kepada pelajar. Dalam konteks pembangunan negara pula, sekolah juga berperanan sebagai agen pembangunan modal insan dan kepakaran dikalangan rakyat negara ini.

Seterusnya, mereka adalah pewaris yang akan merealisasikan aspirasi negara dengan menyumbang dan melibatkan diri secara aktif dalam pembangunan mampan negara. Justeru, pihak berwajib perlu menyediakan kemudahan yang menepati fungsi utama sekolah ini. Sudah pasti, faktor keselesaan dan keselamatan semua pihak di sekolah merupakan suatu tanggungjawab yang tidak boleh dipandang ringan.

Perlu dijelaskan bahawa premis sekolah bukan hanya berfungsi sebagai pusat penyebaran ilmu semata-mata. Kemudahan sekolah juga sering dijadikan aset penting kerajaan dalam menyantuni mangsa-mangsa bencana alam seperti banjir, kebakaran, gempa bumi dan lain-lain. Selain itu, premis sekolah turut sering dijadikan sebagai pusat aktiviti komuniti, pusat mengundi dan sebagainya. Sikap tunggu dan lihat serta tidak proaktif dalam menangani masalah kemudahan yang rosak dan uzur di sekolah merupakan suatu barah yang boleh mengundang malapetaka besar.

Kita sering terlihat di media arus perdana tentang laporan kemalangan dan kecederaan yang berlaku di sekolah. Malang tidak berbau, ramai dikalangan mangsanya adalah dari kalangan para murid sekolah. Terbaharu, tular kejadian kipas di dalam kelas terjatuh sehingga mengakibatkan kecederaan pada jari murid. Kemudian selang beberapa waktu disusuli dengan kejadian murid maut dihempap tiang gol pula. Kisah sebegini bukanlah suatu perkara baharu yang berlaku melibatkan kecederaan dan kematian murid di sekolah. Sudah pasti, ia bukannya suatu isu yang boleh diambil enteng oleh pihak
berwajib.

Langkah-langkah drastik dan efektif perlu dilaksanakan bagi mengurangkan risiko kemalangan akibat kemudahan yang uzur dan tidak diselenggara dengan baik di sekolah. Justeru, perlu sentiasa ditekankan kepentingan melaksanakan kerja-kerja pemantauan dan penyelenggaraan kemudahan di sekolah. Usaha ini boleh dilaksanakan mengikut keutamaan dan secara berkala dari masa ke semasa.

Sebagai contoh, sekiranya pemantauan berkala yang dilaksanakan menunjukkan keadaan kemudahan berada keadaan uzur atau menghampiri kitaran hayat, kerja-kerja pembaikan atau penggantian perlu dilakukan dengan segera. Langkah ini penting bagi mengelakkan kejadian kemalangan yang sama seperti dilaporkan berlaku semula. Tidak dinafikan, usaha ini memerlukan komitmen semua pihak. Sudah tentu, ia akan melibatkan bajet yang sangat tinggi untuk melaksanakannya. Walau bagaimanapun, berdasarkan kepada keadaan sedia ada kemudahan di sekolah-sekolah dalam negara menunjukkan peruntukkan khusus sangat diperlukan bagi tujuan ini.

Dalam konteks ini, bajet khas dari pihak kerajaan melalui kementerian berkaitan adalah sangat penting untuk dirancang dan dilaksanakan. Usaha ini seharusnya diberikan keutamaan agar kerja-kerja penyelenggaraan menyeluruh dapat dilakukan dengan lancar dan secara sistematik. Di samping itu, usaha untuk mewujudkan unit penyelenggaraan kemudahan perlu dijadikan tunjang utama dalam pengurusan sekolah.

Mereka memainkan peranan yang sangat penting dengan melaksanakan kerja-kerja pemantauan secara berkala status semasa kondisi fizikal bangunan. Unit ini juga berfungsi untuk menilai kesan dan risiko kepada pengguna iaitu staf dan murid sekiranya tidak dibaiki dengan segera. Selain itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga seharusnya mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) untuk kerja-kerja penyelenggaraan di sekolah.

Keutamaan perlu diberikan kepada kerja-kerja menyemak dan memeriksa kemudahan kelengkapan awam, elektrik dan mekanikal secara berkala. Usaha proaktif ini perlu dirangka dan dilaksanakan agar premis sekolah sentiasa dalam keadaan selamat dan kondusif.

Sehubungan itu, manfaat yang akan diperolehi daripada usaha di atas adalah setiap sekolah akan dapat membudayakan kerja-kerja penyelenggaraan bersesuaian. Sudah tiba masanya kerajaan perlu memberikan tumpuan khusus kepada usaha membaik pulih semua kemudahan di sekolah secara holistik.

Oleh: Sr Dr. Irwan Mohammad Ali
Koordinator Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni,
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak &

Sr Ts. Dr. Alia Abdullah Salleh
Pensyarah Kanan
Kolej Pengajian Alam Bina

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast