Calon Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (tengah) bersama R. Ramanan (tiga kanan), Mohd Ghazali Md Hamin (dua kanan) Mohd Akmal Mohd Yusof (kanan), Syed Abdul Razak Syed Long (tiga kiri), Nurhaslinda Basri (dua kiri) dan Ahmad Jufliz (kiri) menyerahkan borang penamaan calon sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Kompleks Pejabat Kerajaan Daerah Petaling, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 05 NOVEMBER 2022.

SUNGAI BULOH – Pengundi-pengundi muda di sini menaruh harapan untuk mendapat seorang wakil rakyat yang berjiwa rakyat, selain mampu membawa pembaharuan di kawasan ini.

Harapan menggunung ini kerana Sungai Buloh masih jauh ketinggalan meskipun terletak di dalam bandar dan berhampiran dengan kawasan-kawasan mewah.

Entah mana silapnya, Sungai Buloh masih banyak ‘kekurangan’ yang perlu diisi.

Muhamad Fitri Muhamadan

Seorang pengundi Muhamad Fitri Muhamadan, 33, akui kawasan ini memiliki ramai golongan muda, sayangnya keperluan untuk kumpulan ini tidak dilengkapi.

Menurutnya, Sungai Buloh tidak ada kawasan riadah, apatah lagi tempat-tempat bersukan yang boleh digunakan oleh orang muda.

“Bagi saya bukan susah pun hendak memenangi hati orang muda. Yang penting wakil rakyat perlu peka dengan kehendak dan keperluan orang muda.

“Kalau mereka bijak mengendalikan orang muda, masalah sosial yang meningkat di kawasan ini dapat ditangani,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Fitri mengakui kos hidup yang semakin meningkat menyukarkan golongan muda untuk beriadah.

“Hendak main badminton pun makin mahal, jadi nak bersukan ada kekangan sebab semua kena bayar. Anak muda yang ‘kreatif’ mudah terjebak dengan budaya tidak baik, lumba motor haram.

“Cuba adakan tempat kami berekreasi, beridah…saya percaya isu-isu sosial dapat dikurangkan,” tambahnya.

, Govinda Raju

Sementara itu, Govinda Raju, 39, pula mahu wakil rakyat yang boleh membawa kemajuan di Sungai Buloh supaya dapat memacu pertumbuhan ekonomi di sini.

Menurutnya, apabila ada kemajuan pembangunan secara tidak langsung penawaran peluang pekerjaan wujud, khususnya untuk generasi muda.

“Saya mahu pemimpin yang berwawasan, yang boleh memajukan penduduk. Kami di sini memerlukan peluang pekerjaan, sebab warganegara Malaysia di sini susah cari kerja,” katanya yang bekerja sebagai penghantar barang secara sambilan.

Govinda percaya, wakil rakyat yang mengutamakan rakyat pastinya mempunyai visi ke arah itu.

Rosita Mohd Saleh

Sementara itu, pengundi kali pertama Rosita Mohd Saleh, berharap wakil rakyat di Sungai Buloh yang dipilih lebih kerap turun padang bersama pengundi.

“Apabila rajin turun padang, mereka tahu apa isu kami, masalah kami dan keperluan kami,” katanya.

Kerusi Parlimen Sungai Buloh menyaksikan empat pertarungan antara Khairy Jamaluddin mewakili Barisan Nasional (BN) dan Datuk R. Ramanan dari Pakatan Harapan (PH) serta Mohd Ghazali Md Hamin (PN).

Selain itu, Mohd Akmal Mohd Yusoff (GTA-Pejuang) dan Ahmad Jufliz Faiza (PRM) dan dua calon bebas Syed Abdul Razak Syed Long Alsagoff dan Nurhaslinda Basri.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast