KUALA KRAU – Wanita Barisan Nasional (BN) di sini tidak terkesan apabila kepimpinan tertinggi parti tidak memenuhi 30 peratus calon wanita bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) seperti dijanjikan sebelum ini.

Calon BN Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata, sayap parti itu terus bersemangat untuk berkempen memenangkan parti terutamanya di Kuala Krau.

“Jadi, tentang masalah kuota Wanita BN tidak capai 30 peratus di peringkat pusat itu tidak menjadi penghalang untuk kita bekerja,” ujarnya di sini hari ini.

Hari ini, Timbalan Pengerusi Wanita BN, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, pihaknya akan terus mendesak agar pimpinan tertinggi pusat menunaikan janji meletakkan 30 peratus calon wanita di peringkat pilihan raya negeri bagi baki enam negeri yang masih belum membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) mereka.

Dalam pada itu, ketika ditanya berkenaan persepsi dimainkan pihak pembangkang berhubung calon perdana menteri daripada BN selepas PRU15, katanya, keputusan telah dimuktamadkan.

“Parti telah membuat keputusan melalui Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dan juga Mesyuarat Kerja Tertinggi (MKT).

“Selain itu, semua 158 bahagian telah membuat usul bahawa calon Perdana Menteri PRU15 adalah Ismail Sabri Yaakob,” ulasnya.

Justeru, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu, isu berkenaan tidak perlu lagi dimainkan kerana parti itu kini mahu memberi fokus untuk menang dan seterusnya menerajui negara.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast