PUTRAJAYA – “Satu undi untuk Ku Nan, adalah satu undi untuk Ku Nan jelah”.
Itu penegasan calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor atau lebih mesra disapa sebagai Ku Nan.
Jawapan itu diberi bagi menempelak naratif yang dimainkan pembangkang, iaitu setiap satu undi kepada calon BN adalah satu undi kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Perdana Menteri.
“Kita tahu calon Perdana Menteri siapa, hanya Datuk Seri Ismail Sabri. Itu yang disebutkan oleh Zahid” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyantuni pengundi di Medan Selera Presint 16, di sini hari ini.
Namun, penyandang kerusi Parlimen itu menyerahkan soal calon Perdana Menteri kepada ketentuan Allah.
Yang penting sekarang adalah negara ditadbir dengan baik.
“Terpulang kepada Allah SWT pada akhirnya. Ismail Sabri dulu pun tak tahu yang dia akan jadi PM atau tidak, kita pun tak tahu, jadi kita serahkan perkara itu kepada kuasa Allah”
“Yang paling penting sekarang ini kita nak negara ni ditadbir dengan baik, seperti tema kita ke arah kemakmuran dan kestabilan” katanya.
Justeru tegas beliau, tiada isu berbangkit pun padanya sama ada satu undian untuknya adalah untuk Ahmad Zahid atau Ismail Sabri.
“Satu undi untuk Ku Nan adalah satu undi untuk saya je” ulang beliau.
Semalam persoalan sama timbul kepada calon BN di Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin (KJ).
Mengikut laporan media, jawapan Khairy juga adalah satu undian untuk beliau tetap satu undian untuk KJ.
Menurutnya, naratif berkenaan perlu dijelaskan selepas dakwaan timbul mengatakan pengundi yang memilih Khairy bermakna memilih Ahmad Zahid sebagai Perdana Menteri.
Malah semalam, Naib Presiden UMNO, Ismail Sabri juga mengesahkan beliau masih lagi ‘poster boy’ dan calon Perdana Menteri BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau turut menafikan wujud surat akuan bersumpah yang didakwa perlu ditandatangani setiap calon daripada UMNO, seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Antara persetujuan dalam surat akuan itu adalah bersetuju memilih calon Perdana Menteri selain beliau selepas pilihan raya. -MalaysiaGazette