GEORGE TOWN – Ramai ahli wanita dalam Barisan Nasional (BN) kecewa selepas kepimpinan tertinggi dikatakan gagal menunaikan janji memastikan 30 peratus calon wanita bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi Wanita BN, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, pihaknya akan terus mendesak agar janji itu ditunaikan di peringkat pilihan raya negeri yang membabitkan beberapa negeri nanti.
“Mungkin sudah lewat untuk mengubah senario ketika ini kerana sudah masuk penamaan calon, sekali gus menandakan bermulanya kempen di seluruh negara.
“Tapi masih belum terlambat untuk kita terus mendesak agar janji itu ditunaikan di peringkat pilihan raya negeri bagi baki enam negeri yang masih belum membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) mereka,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau yang juga Naib Ketua Wanita UMNO berkata, pihaknya akan terus pastikan desakan tersebut didengari seterusnya ditunaikan oleh kepimpinan tertinggi.
Jelas beliau, secara peribadi, permohonan 30 peratus kuota itu bukan bersandar emosi membuta-tuli, sebaliknya bersandarkan kepada statistik bahawa terdapat 123 dari 222 kawasan parlimen didominasi oleh pengundi wanita.
“Pastikan kerusi yang sesuai dan selamat untuk dimenangi. Bukan sekadar tangkap muat.
“Lebih daripada itu, ia sejajar dengan ‘trend’ dan ‘demand’ dunia terutama Asia untuk pertingkat usaha keterlibatan wanita dalam pembuatan dasar dan polisi bukan saja sektor swasta tetapi kerajaan serta penggubal undang-undang negara,” katanya.
Norliza turut mengucapkan selamat berkempen kepada calon-calon Wanita termasuk Puteri dan rakan komponen di seluruh negara demi memastikan kemenangan BN.
“InsyaAllah, saya akan cuba hadir memberi sokongan dan membantu sedaya mungkin sepanjang tempoh 14 hari ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette