Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) menawarkan langkah memupuk kemajmukan dan perpaduan dengan memastikan semua sekolah kebangsaan mengajar bahasa komunikasi asas etnik yang lain.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN memahami fabrik sosial masyarakat di negara ini yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan sekolah dilihat menjadi medan penyatuannya.

“Selain Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris yang diajar di semua sekolah, nanti semua sekolah akan turut mengajar bahasa-bahasa komunikasi asas yang lain seperti Mandarin, Tamil, Iban, Kadazan, Dusun dan bahasa etnik lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan manifesto BN yang dikenali Perancangan Amal dan Usaha (PADU) secara maya, di sini, hari ini.

Menurut Zahid, langkah itu bukan sahaja memberikan sesi pembelajaran menjadi lebih menarik, malah sekolah akan menjadi tempat pelajar bersahabat dan membesar sebagai rakyat yang kaya dengan nilai keharmonian.

Tambahnya, BN juga akan memperkenal kemahiran baharu dalam silibus pendidikan dengan menjadikan sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan.

“BN akan jadikan sekolah sebagai tempat memupuk minda terbaik melalui pengajaran kemahiran yang baharu seperti pengekodan atau coding dan kreativiti,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast