Calon Barisan Nasional P.107 Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin beramah mesra dengan penduduk semasa mengadakan walkabout sempena Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 di Kampung Melayu Subang, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 07 NOVEMBER 2022.

SUNGAI BULOH -Calon Barisan Nasional (BN) Sungai Buloh Khairy Jamaluddin berkata, isu kitar semula yang dimainkan pencabarnya, Datuk R. Mananan hanya untuk menjejaskan kredibiliti beliau.

Menteri Kesihatan itu menegaskan, dakwaan tersebut adalah tidak berasas apatah lagi sudah dijelaskannya menerusi platform terbaik iaitu Dewan Rakyat dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Malahan katanya, tiada bukti yang beliau terlibat dengan skandal seperti yang dicanangkan oleh Ramanan.

“(Ramanan) kena cakap, saya curi duit dan beliau sedia disaman.

“Tapi saya tahu dia tidak akan buat begitu. Cubalah buat. Cubalah tuduh. Sampai hari ini tidak ada satu pun bukti mengaitkan saya,” katanya kepada pemberita sewaktu hadir program Perjumpaan Anak Muda Generasi Asal Kg. Melayu Subang.

Khairy berkata, beliau yakin Ramanan hanya mampu menggunakan dakwaan-dakwaan berkenaan sebagai sentimen untuk mengelirukan pengundi Sungai Buloh.

“Jadi kalau awak hendak buat tuduhan, buat tuduhan betul-betul ya Ramanan, bukan minta Khairy jelaskan.

“Buat tuduhan khusus yang mengatakan saya sakau duit atau (jadi) scammer… kalau cakap begitu saya jumpa awak di mahkamah,” katanya lagi.

Semalam, Khairy mencabar pembangkang agar membuat tuduhan dengan jelas apabila cuba mengaitkan beliau dengan kluster mahkamah.

Katanya pembangkang tidak perlu berselindung apabila membuat tuduhan, apatah melibatkan cerita-cerita lama yang telah terbukti tiada pendakwaan dan bukti untuk mengheretnya ke mahkmah.

Untuk rekod, Khairy telah berkali-kali memberi penjelasan bahawa kes itu tidak melibatkan beliau dan sehingga ke hari ini, tiada satu pun kertas siasatan dibuka ke atasnya.

Kemudian Ramanan pula berkata sedia disaman kerana menyifatkan tuduhannya bukan baharu tetapi pernah berbangkit sebelum ini.-MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. Dah tak de modal PH…nak bagi aku janji atau pelan pembangunan, rakyat dah tak percaya kaki kencing…jd modal dia cuma jaja fitnah dan gosip style Rapiji laaaa…mcm bangang

Comments are closed.