Hui Ying (tengah) bercakap pada sidang media berhubung inisiatif pemberian tiket bas, keretapi kepada pelajar B40 untuk pulang mengundi pada 19 November ini.

GEORGE TOWN – DAP Pulau Pinang akan menanggung kos tiket pengangkutan dua hala bas atau keretapi bagi pelajar Pulau Pinang yang pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Setiausaha DAP Pulau Pinang, Lim Hui Ying berkata, inisiatif itu diambil menerusi kempen Jom Balik Undi Selamatkan Malaysia PRU15 susulan ramai pelajar kurang berkemampuan berdepan kekangan untuk pulang mengundi.

Kata beliau, inisiatif itu bukan bersifat membeli pengundi sebaliknya pelajar bebas memilih parti disukai mereka.

“Kita memahami pelajar-pelajar ini masih belum mempunyai pendapatan dan perlu bergantung kepada keluarga.

“DAP Pulau Pinang faham di mana pelajar-pelajar masih belum mempunyai pendapatan dan perlu bergantung kepada ahli keluarga.

“Oleh itu, kami ingin membantu pelajar-pelajar terutamanya dari golongan B40 untuk pulang untuk melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia,” katanya dalam sidang media di Wisma DAP Pulau Pinang di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Hui Ying berkata, pelajar boleh membuat permohonan subsidi itu menerusi laman web bit.ly/jomundipulaupinang bermula hari ini sehingga 18 November ini.

“Tempoh tarikh tiket perjalanan mestilah dari 16 November hingga 21 November 2022 yang mana tiket keluar Pulau Pinang adalah sebelum 19 November manakala tiket balik ke Pulau Pinang adalah selepas 19 November.

“Kadar subsidi yang diberikan adalah penuh mengikut harga resit pembelian tiket sama ada bas atau keretapi sahaja dan ia terhad kepada pemohon terawal.

“Bagi permohonan yang berjaya akan menerima WhatsApp daripada pihak urus setia dalam tempoh 24 jam permohonan dibuat untuk menuntut tambang tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast