KUALA LUMPUR – “Jika saya menjadi ahli Parlimen dan kembali sebagai anggota Kabinet, saya jamin cari penyelesaian tuntas isu Flat Seri Perlis 2,”.
Perkara itu menjadi janji calon Pakatan Harapan Parlimen Titiwangsa, Khalid Abdul Samad yang tekad untuk membela nasib penduduk flat di Kampung Datuk Keramat itu yang dihimpit masalah status pemilikan sejak 41 tahun yang lalu.
Menurut penyandang Parlimen Shah Alam selama tiga penggal itu, isu tersebut bermula apabila penduduk setinggan di kawasan berkenaan dipindahkan ke flat terbabit.
Antara tawaran yang dijanjikan ketika itu adalah bayaran sewa yang dibuat boleh ditukar sebagai deposit untuk menjadi pemilik kediaman itu.
“Mereka tunjukkan kepada saya satu keratan akhbar zaman dahulu yang menunjukkan kata-kata Tun Mahathir yang mana Tun M mendakwa, bayar sewa 10 tahun dan selepas itu akan ditukarkan menjadi deposit untuk beli sebagai pemilik,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Jelas Khalid, penduduk yang telah tinggal di kediaman tersebut sejak 1981 itu sehingga kini masih kekal sebagai penyewa, bukan menjadi pemilik seperti yang dijanjikan.
“Maknanya, sepatutnya 30 tahun yang lepas isu ini sudah selesai dan mereka sudah boleh jadi pemilik tetapi mereka hanya sebagai penyewa dan boleh dipindahkan sesuka hati, boleh dihalau begitu saja kerana tiada hak,” ujarnya.
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu mendakwa, isu itu boleh diselesaikan ketika beliau masih menjawat jawatan tersebut, namun tiada pihak yang memaklumkan perkara itu termasuk seterunya dalam Pilihan Raya Umum ke-15, Datuk Seri Johari Ghani.
“Saya hairan, ketika saya jadi menteri, masalah ini tak dibawa ke pengetahuan saya oleh Datuk Johari (calon Barisan Nasional) sendiri.
“Kalau Johari nak bela nasib penduduk, sepatutnya masalah yang dihadapi ketika itu boleh disampaikan kepada saya, tapi ia tidak berlaku. Termasuk Datuk Seri Rina Harun (penyandang) sendiri pun tak maklum,” ulasnya.
Rentetan itu, Khalid berharap pengundi dapat menilai yang mana intan, yang mana kaca ketika melaksanakan tanggungjawab pada tanggal 19 November ini.
“Saya berharap warga Titiwangsa dapat berikan peluang kepada saya untuk berkhidmat menyelesaikan isu-isu di Parlimen tersebut,” ujarnya buat pengundi P119 yang menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon BN, PH, Perikatan Nasional dan Gerakan Tanah Air. – MalaysiaGazette
Haaa ko yg jd menteri..ko plak tak tahu? Ko jd menteri tunggul kaaa??