Kamarudin menyampaikan cenderahati kepada peserta kejohanan sepak takraw di gelanggang padang Taman Bukit Cheras, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Penyandang kerusi Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamarudin Jaffar berjanji akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan sahsiah belia di kawasan itu.

Sebagaimana dilakukannya sejak awal menjadi Ahli Parlimen kawasan itu pada PRU14 tahun 2018, beliau tidak pernah sunyi daripada mengheret anak muda terlibat dalam aktiviti berkenaan.

Semalam, beliau turun padang merasmikan kejohanan sepak takraw Piala Dato’ Kamarudin Jaffar di gelanggang padang Taman Bukit Cheras, dekat sini.

Menurutnya, kejohanan itu menyaksikan sebanyak 20 pasukan terlibat.

“Kejohanan seumpama ini adalah kesinambungan aktiviti sukan dan riadah yang dirancang oleh pihak Pusat Khidmat Rakyat Bandar Tun Razak.

Kamarudin di Bandar Tun Razak.(tengah) bersama pasukan bola jaring

“Sebelum ini juga telah diadakan kejohanan bola sepak, bola jaring, sukan rakyat dan sebagainya.

“Semua ini dilaksanakan dengan objektif memupuk semangat perpaduan penduduk Bandar Tun Razak tanpa mengira kaum, di samping menggalakkan aktiviti bersukan di kalangan belia dan pembangunan modal insan,” katanya kepada Malaysia Gazette.

Kata Timbalan Menteri Luar Negeri itu, banyak lagi aktiviti bersukan seumpama ini akan dilaksanakan demi memastikan belia di Parlimen Bandar Tun Razak sentiasa mempunyai kegiatan bermanfaat dan menjadikan sukan sebagai satu budaya.

Dalam PRU15 kali ini beliau dicabar Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dari Pakatan Harapan (PH) dan Datuk Chew Yin Keen dari Barisan Nasional (BN).

Sebelum ini, pada PRU14, Kamarudin memenangi kerusi Bandar Tun Razak dengan majoriti besar, 19,930 undi.

Beliau memperolehi 41,126 undi, menewaskan calon BN, Adnan Seman yang mendapat 21,196 undi dan calon Pas, Dr. Rosni Adam hanya mengumpul 7,884, sekali gus hilang deposit.

Kamarudin mula menyertai PRU pada tahun 1999 iaitu PRU kesembilan di Parlimen Tumpat, Kelantan dan memenangi kerusi itu pada PRU10, PRU11, PRU12, PRU13 dan PRU14.

Kali ini beliau dijangka menerima saingan sengit daripada Dr. Wan Azizah. – MalaysiaGazette