Calon Barisan Nasional P.107 Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin menyantuni dengan pengunjung semasa mengadakan walkabout sempena Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 di Pasar Tani Kampung Melayu Subang, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 07 NOVEMBER 2022.

SUNGAI BULOH – Varian Omicron Subvarian XBB tidak menunjukkan kesan yang serius, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Katanya, varian tersebut tidak menunjukkan kesan peningkatan terhadap kes kematian dan jumlah kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

Bagaimanapun, tambah beliau, orang ramai perlu kekal berwaspada dengan mengamalkan kaedah pencegahan terutama di kawasan yang berisiko berlakunya penularan Covid-19.

“Varian tidak menunjukkan kesan yang lebih serius. Dari segi kebolehjangkitan mungkin lagi tinggi sebab itu kes naik sikit tapi selagi kematian tidak naik, di ICU tidak naik, jadi kita okay.

“Tapi kita ambil langkah berjaga-jaga, saya nampak sekarang lagi ramai pakai pelitup muka dan kes pun dan terkawal sikit. Itu cara kita respon bila naik di kawasan tertutup dan sesak kita pakai pelitup muka,” katanya kepada pemberita sewaktu mengadakan walkabout di Pasar Tani Kampung Melayu Subang, dekat sini, hari ini.

Terdahulu beliau berkata, sehingga kini sebanyak 21 kes Covid-19 daripada varian XBB.

“Subvarian XBB kita ada 14 kes setakat ini, manakala XBB.1 ada tujuh kes,” ujarnya.

Khairy menjangkakan, akan bilangan kes varian XBB akan meningkat namun ia normal bagi menggantikan varian yang sebelumnya iaitu BA5.

Jelasnya, perkara yang sama turut berlaku di Singapura. -MalaysiaGazette