Bangunan Parlimen utama
Bangunan Parlimen

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) akan menyediakan kuota khusus kepada belia untuk dilantik sebagai senator di Dewan Negara jika menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 9 November ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia antara 99 inisiatif yang terkandung dalam dokumen Manifesto BN yang juga akan menubuhkan Jawatankuasa Belia bagi semakan dasar di Parlimen.

“Ketika ini, keanggotaan Ahli Dewan Negara adalah seramai 63 orang iaitu 39 yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, sementara 24 ahli lagi adalah pilihan negeri,” katanya ketika membentangkan Manifesto BN dikenali Perancangan Amal dan Usaha (PADU) secara maya, di sini, malam ini.

Ahmad Zahid berkata, BN juga menjanjikan peruntukan RM20 juta setahun untuk membina litar sukan permotoran bagi membuka peluang belia terbabit dalam sukan permotoran di platform yang betul.

Beliau berkata, parti itu juga berjanji untuk menggubal Akta Kontraktor Tanggungan (Dependent Contractor) dengan segera untuk melindungi hak, pendapatan dan kebajikan pekerja gig, pemandu e-hailing, penghantar makanan dan sebagainya.

“BN turut berjanji untuk menyemak dan menambahbaik semua skim kebajikan veteran tentera, polis dan pasukan seragam lain serta membantu mereka meningkatkan akses kepada peluang pekerjaan dan keusahawanan demi persaraan bermaruah,” katanya. – MalaysiaGazette