Calon Barisan Nasional P.082 Indera Mahkota, Datuk Quek Tai Seong bergambar ketika mengadakan lawatan rumah ke rumah sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Chendor, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 07 NOVEMBER 2022.

KUANTAN – Kawasan Parlimen Indera Makota yang merangkumi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu dan Beserah di bandar raya Kuantan ini memerlukan perubahan wajah baru dari segi pembangunan dan penyelesaian isu setempat.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Indera Mahkota, Datuk Quek Tai Seong berkata, beliau menghayati aduan dan isu berbangkit di kawasan berkenaan setelah dua hari turun padang untuk berkempen.

“Isu jalan rosak, benda yang sepatut dinaik taraf tidak dibuat, isu tanah orang kampung, isu kebajikan, orang kurang upaya, ibu tunggal.

“Saya pun tidak faham mengapa terjadi, mungkin 15 tahun sebelum ini bukan ditadbir oleh wakil rakyat bukan Barisan Nasional, ianya satu kemungkinan,” katanya.

Quek mula berkecimpung dalam dunia politik pada 2006 apabila menjadi pegawai khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Datuk Pang Tsu Ming.

Beliau yang lebih mesra disapa Mat Quek berkata demikian ketika ditemui MalaysiaGazette di Chendor, dekat sini beriltizam berkhidmat untuk rakyat jika diberikan mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU).

Pada 19 November ini, Mat Quek bakal berdepan dengan penyandang Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah mewakili Perikatan Nasional (PN) dan can calon Pakatan Harapan (PH), Zuraidi Ismail.

Jelas beliau, semasa turun padang sambutan penduduk menunjukkan reaksi positif yang menginginkan perubahan kepimpinan di kawasan itu.

“Saya terkejut bila isu ini berlaku di Parlimen Indera Mahkota. Tak pernah berlaku di Parlimen Bera  atau di mana-mana yang ada di kawasan BN, kita ada menteri. YB bukan dari BN, mungkin itu satu punca.

“Hari ini saya nampak pengundi di sini pengundi kampung ada hati niat nak perubahan Indera mahkota, saya rasa kena ada perubahan.

“Wajah Parlimen Indera Mahkota ini tak sepatutnya apa yang ada pada hari ini, bukan wajah hari ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette