Gambar hiasan.

KOTA TINGGI – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) perlu melakukan pembaharuan bagi memastikan matlamat penubuhan agensi ini  selari dengan perkembangan dan keperluan semasa negara.

Para pewaris Felda menyifatkan banyak isu yang perlu diberi fokus oleh kerajaan baharu nanti melibatkan pindaan akta, potensi dan pembangunan kawasan dan warganya.

Menurut mereka isu ini penting untuk diteliti kerajaan yang baharu nanti demi kelangsungan generasi Felda, selain kepada negara.

Penasihat Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Datuk Mazlan Aliman berkata, antara yang perlu dilakukan ialah pindaan akta sedia ada mengatasi polemik pusaka atau pewarisan golongan itu.

Mazlan Aliman

Tambahnya, hala tuju Felda perlu lebih segar dan menyeluruh memandangkan generasi golongan itu telah mencapai generasi ketiga.

“Bagi saya Felda perlu mempunyai naratif yang baharu dalam erti kata lain hala tuju Felda setelah ia ditubuhkan pada 1956 dan Akta Group Settlement Act 1960 dibentang Timbalan Perdana Menteri masa itu, Tun Razak sudah terlalu lama.

“Bila sudah terlalu lama ia sudah tidak relevan pada waktu ini kerana hampir 70% warga Felda terdiri daripada generasi baharu selepas generasi asal telah ramai meninggal dunia. Isunya adalah akta sedia ada itu tidak menyentuh soal perwarisan.

“Namun bagi memastikan kelancaran menangani isu Felda bergantung kepada penyelarasan kerajaan negeri dan pusat,” katanya.

Nur Huda Ahmad, 34 pula berpandangan, potensi Felda tidak digunakan sepenuhnya dan ia satu kerugian kepada negara, juga generasi Felda sendiri.

Felda sepatutnya bukan sahaja sebuah penempatan tersusun, imej kelapa sawit atau getah sebaliknya potensinya dalam bidang ekonomi cukup luas.

Sayangnya ia tidak digunakan dengan sepenuhnya.

Nur Huda AhmadNamun sebagai anak muda sudah pasti mereka mahukan pemimpin yang tahu menjalankan tugas.

“Ada banyak sebenarnya potensi sepeti ada arnab dan akan datang penanaman cili di Felda cuma tidak dikomersialkan dengan betul.

“Semua aktiviti ekonomi adalah penjana pendapatan belia Felda,” katanya.

Beliau menaruh harapan pemimpin yang bakal meneraju Putrajaya nanti dapat memberi pembaharuan kepada Felda seperti yang diharapkan.

Generasi ketiga Felda, Nabilah Ismail,31, turut menaruh harapan kerajaan baharu yang mendapat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti dapat menggariskan hala tuju jelas kepada pewaris-pewaris Felda.

“Kami tidak mahu pemimpin ‘tin kosong’ yang hanya tahu bercakap. Kami mahu pemimpin yang ada idea pembaharuan dan kemudian bertindak merealisasinya.

Nabilah Ismail

“Kami mahu pemimpin yang boleh memberi manfaat kepada peneroka, generasi muda Felda.

“Pemimpin yang serius , komited untuk menaik taraf kehidupan penduduk Felda. Itu yang kami mahu,” ujarnya.

Nabilah berkata, sepatutnya anak-anak Felda tidak perlu keluar daripada penempatan ini memandangkan sini semuanya ada.

Cuma, potensinya sebagai hab pertanian, perniagaan tidak dimajukan sewajarnya.

“Oleh itu, saya berharap ada pemimpin yang mampu membawa perubahan ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast