PUCHONG — Calon bebas bagi kerusi parlimen Puchong ini tidak menang tangan membantu penduduk.

Baru sahaja mahu mula berkempen, Kuan Chee Heng bergegas ke Hospital Serdang dengan ambulans pertubuhannya sendiri untuk membawa seorang pengundi yang tiba-tiba sesak nafas.

Muin Mad Jeli, 66, pesakit Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal sebelum itu mengadu tidak mempunyai wang saku untuk mendapatkan rawatan kesihatan kerana mengalami tekanan darah tinggi.

Aktivis masyarakat yang mesra dipanggil Uncle Kentang sememagnya tidak asing bagi warga Puchong.

Bagi kempen sebagai calon bebas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini beliau mahu mengetengahkan nasib ibu tunggal yang teraniaya dan warga emas jika diberi mandat untuk menjadi wakil rakyat.

Kuan Chee Heng, atau Uncle Kentang bercakap kepada pemberita di sebuah kedai makan di Bandar Puchong Utama, hari ini.

Menurut Uncle Kentang, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan ekoran pandemik Covid-19 melanda negara, ramai kaum hawa diceraikan tanpa sebarang bantuan.

“Ramai ibu tunggal terpinga-pinga selepas bercerai. Hak tuntutan nafkah ni menjadi satu kerumitan buat mereka yang teraniaya. Tak kira lah beragama Islam ataupun bukan.

“Saya akan bergabung dengan pengamal undang-undang meminta mereka menubuhkan satu divisyen khas untuk membantu mereka yang teraniaya ini menuntut alimoni (nafkah),” katanya ketika ditemui pemberita di Bilik Gerakan Sementara Calon Bebas Uncle Kentang, di Taman Puchong Utama, di sini, hari ini.

Tambah beliau, ramai ibu tunggal tidak mampu membayar tambang berulang alik ke mahkamah, apatah lagi mendapatkan servis guaman.

“Ramai yang nak tuntut nafkah sepencarian untuk anak-anak, nak makan dan bergerak ke mahkamah pun tidak mampu apatah lagi mengambil servis guaman.

“Bila tak berjaya dapatkan peguam, ramai ibu tunggal kesudahannya teraniaya, terpinggir. Saya nak bela nasib mereka yang teraniaya ini,” katanya.

Dalam pada itu Uncle Kentang berpendapat sudah tiba masanya negara mewujudkan dasar membabitkan warga emas menjelang Malaysia dijangka memasuki “negara tua” (age-ing nation) pads 2030.

“Kita akan menghadapi ledakan warga usia tua di Malaysia. Kita dah pun mempunyai akta kanak-kanak dan sebagainya tapi tiada akta melindungi warga emas.

“Kita lihat semakin ramai golongan ini (ayah dan ibu) dipinggirkan dan dibuang maka kita perlu ada satu undang-undang yang boleh membantu warga emas ini.

“Mereka ini dah berjasa. Bila kita hadapi golongan ini yang bakal datang buat kali pertama, adakah kerajaan kita sudah bersedia?” soalnya.

Katanya, dasar itu meliputi kesediaan bantuan perubatan, pengangkutan, infrastruktur, polisi, hospital serta kemudahan awam.

Apabila ditanya mengenai penglibatan beliau dalam arena kebajikan, katanya walaupun perkara ini adalah tanggungjawab Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), terdapat lagi ruang-ruang yang belum dapat diselesaikan, yang boleh dibawa ke Parlimen.

Sementara itu apabila ditanya mengenai penerimaan pengundi setempat, katanya, beliau yakin penduduk kawasan itu mampu memilih wakil rakyat yang cakna dengan permasalahan mereka.

“Ramai ahli politik kini mendahulukan mendahulukan parti masing-masing, dan bukannya nasib rakyat. Sejak 2018 sehingga kini, ada ahli politik yang betul-betul ambil tahu pasal rakyat?.

“Saya bukan lima tahun sekali baru muncul tapi setiap hari.

“Kita biar pengundi Puchong pilih siapa yang boleh mereka jumpa hari-hari, kita bukan orang elit nak jumpa di hotel mewah, padang golf, kita tiada pegawai keselamatan pun kita boleh jumpa di kedai mamak sahaja,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast