Tiga suspek utama wanita warga Thailand diserahkan kepada Polis Diraja Thailand di Terminal Udara Polis di Subang, Selangor.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan satu sindiket pemerdagangan manusia Thailand dengan tertangkapnya lima warga asing di sekitar Lembah Klang dalam serbuan yang dilakukan pada bulan lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, tangkapan suspek sindiket yang didalangi wanita warga Thailand itu berdasarkan risikan dan maklumat yang telah diperolehi daripada Polis Diraja Thailand (RTP).

“Menerusi serbuan yang dijalankan pada 26 Oktober lalu, akhirnya kita berjaya menahan dua lelaki warga Indonesia dan menyelamatkan mangsa dua wanita warga Indonesia serta dua wanita warga Thailand yang dieksploitasi untuk seks di negara ini.

“Kesemua mangsa berusia lebih 18 tahun yang diselamatkan di sini telah ditempatkan di rumah perlindungan di bawah arahan perlindungan sementara (IPO),” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Sidang media mengenai penahanan lima warga asing yang terlibat dalam sindiket pemerdagangan manusia di Subang, Selangor.

Pada sidang media itu, Acryl Sani merakamkan penghargaan terhadap lawatan peribadi Timbalan Ketua RTP, Timbalan  Komisioner Jeneral Surachate Hakparn.

Menurut beliau, PDRM telah lama menjalinkan kerjasama dengan RTP dan banyak maklumat dikongsi antara kedua-dua pihak berkuasa itu mengenai aktiviti sindiket itu yang membawa penahanan suspek dalam tempoh yang singkat.

Tambahnya, tangkapan dan siasatan ke atas dua suspek membawa kepada serbuan dilakukan pada 29 Oktober lalu yang  membawa penahanan tiga wanita berumur antara 30 hingga 39 tahun.

Tiga suspek utama wanita Thai yang dicekup di Malaysia dalam kes pemerdagangan manusia eksploitasi seks diserahkan kepada Polis Diraja Thailand di Terminal Udara Polis di Subang, Selangor.

“Ketiga-tiga suspek wanita warga Thailand terbabit disyaki dalang utama dan memainkan peranan sebagai ejen merekrut wanita tempatan untuk eksploitasi seks secara paksa ke sini,” ujarnya.

“Kesemua suspek wanita warga Thailand ini ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana pasport ketiga-tiga penjenayah itu telah dibatalkan oleh pihak berkuasa Thailand diserahkan kepada pihak Polis Diraja Thailand bagi tindakan perundangan di negara tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, Surachate memberitahu, hasil kerjasama antara PDRM dan RTP berjaya menyelesaikan kes sindiket pemerdagangan manusia yang merentasi sempadan itu.

“Dalang terbabit memasuki Malaysia bagi menjalankan aktiviti pelacuran dan sindiket ini berjaya ditumpaskan selepas RTP menyalurkan maklumat berkaitan pemerdagangan manusia untuk siasatan lanjut PDRM,” katanya sambil menambah seorang remaja perempuan warga Thailand berusia 14 tahun menjadi mangsa sindiket itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast