Calon Perikatan Nasional P.082 Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah (kiri) beramah mesra dengan anggota TLDM ketika sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Balok Perdana, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 07 NOVEMBER 2022.

KUANTAN – Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menyifatkan tawaran pengurangan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah lebih bermaruah kepada peminjam.

Katanya, tawaran yang dilakukan menerusi manifesto Perikatan Nasional (PN) itu lebih praktikal selain menjadi motivasi kepada peminjam.

Beliau yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Indera Mahkota menjelasnya, meskipun tawaran itu pernah dicanangkan oleh sebuah parti dalam manifestonya sebelum ini namun ia bukan seperti yang ditawarkan PN.

“Dari segi pembayaran PTPTN itu, apa yang ditawarkan ialah motivasi untuk orang bayar. Motivasi itu sesuai dengan pencapaian membayar balik hutang, pada saya skim yang amat baik.

“Tapi sesetengah tawaran sebelum ini tak logik, menghapuskan misalnya itu bukan satu pengajaran yang baik pada mahasiswa.

“Yang ini tawaran yang memotivasi untuk belajar dengan cemerlang untuk mendapat prestasi terbaik dan kerana itu ada diskaun dan sebagainya. Dan saya fikir itu lebih bermaruah dan lebih bijaksana,” katanya di Balok Perdana, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu pengurangan bayaran balik pinjaman PTPTN yang dikatakan tidak banyak berbeza dengan yang ditawarkan sebelum ini.

Terdahulu, Saifuddin menyantuni penduduk Semambu dan Indera Mahkota dalam kempennya untuk mempertahankan kerusi Parlimen Indera Mahkota pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast