BERA – Tawaran pengurangan pinjaman pendidikan yang diumumkan dalam manifesto Perikatan Nasional (PN) malam tadi bukan perkara baru, kata Datuk Seri Ismail Sabri.

Perdana Menteri berkata, inisiatif tersebut telah pun diumumkan dalam pembentangan Bajet 2023 pada bulan lalu,

“Kita yang telah janjikan. Kita yang umumkan dalam bajet siapa yang membayar awal dan membayar sepenuhnya, semuanya ada diskaun yang telah diumumkan,”katanya.

Ismail Sabri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman tawaran pengurangan sebanyak 25 peratus bayaran balik kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional yang terkandung dalam manifesto PN yang diumum oleh Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Muhyiddin turut memberitahu, PN akan terus melaksanakan Bajet 2023 seperti yang telah diluluskan malah akan menambah baik sekiranya mereka mendapat mandat untuk menerajui negara pada 19 November ini.

Sementara itu, Ismail Sabri menekankan bahawa Bajet 2023 merupakan sebahagian besar manifesto Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum 15 (PRU15) kali ini.

“Kalau kita lihat latar belakang bajet ini datang daripada saya bersama Menteri Kewangan yang kedua-duanya daripada BN atau UMNO.

“Saya selaku Naib Presiden UMNO, dan Datuk Seri Tengku Zafrul selaku Bendahari UMNO Selangor. Jadi arkitek kepada manifesto atau Bajet 2023 adalah saya dan Zafrul,” tegasnya.

Kerana itu juga, katanya manifesto BN adalah bajet yang berpijak di bumi nyata kerana sebahagian besarnya adalah daripada Bajet 2023.

Tambah Ismail, berbeza dengan manifesto biasa daripada parti pembangkang yang tidak berasaskan keadaan kewangan daripada kerajaan, mereka boleh menabur janji apa sahaja seperti pilihan raya lalu.

“Mereka tak peduli sama ada mereka boleh laksanakan atau tidak. Ia adalah janji-janji manis hanya untuk memikat pengundi-pengundi supaya mengundi mereka.

“Dan kita telah buktikan bahawa manifesto seperti ini, apabila mereka memerintah, ia tidak akan dilaksanakan. Ia hanya janji semata-mata,” tambahnya.

Pada 7 Oktober lalu, kerajaan mengumumkan tawaran diskaun pembayaran balik PTPTN secara menyeluruh iaitu 20 peratus untuk penyelesaian penuh, di samping diskaun sebanyak 15 peratus untuk penyelesaian 50 peratus baki hutang.

Peminjam juga akan diberikan diskaun 15 peratus untuk bayaran secara potongan gaji.

Manakala PN dalam manifestonya menawarkan diskaun 25 peratus pembayaran pinjaman PTPTN untuk graduan kelas kedua sebagai antara 234 tawaran gabungan parti itu jika mereka diberi mandat menerajui negara pada 19 November ini.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Muhyidin dan Tok2 Lebai ni kerja dia copy paste jaaaaaa..PM gagal paling teruk dlm Sejarah Malaysia

Comments are closed.