Calon Perkatan Harapanl P.107 Sungai Buloh, Datuk R Ramanan menyantuni penduduk setempat sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Kampung Melayu Subang,Sungai Buloh. Foto MUHD NA’IM, 07 NOVEMBER 2022.

SUNGAI BULOH – Calon Pakatan Harapan (PH) Sungai Buloh, Datuk R. Ramanan bersedia berhadapan dengan tindakan saman daripada seterunya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (Barisan Nasional).

Beliau berkata, tuduhan yang diulangnya semula baru-baru ini yang mengaitkan skandal bekas Menteri Belia dan Sukan itu bukan isu baharu, sebaliknya ia pernah disiarkan di internet.

“Kalau nak saman terpulang kepada beliau bukan saya yang buat tuduhan ini, ini tuduhan-tuduhan lama, bukan baru.

”Isu ECM Libra, Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) bukan yang saya dedahkan. Bukan baru, perkara itu ada di internet sudah dikemukakan hanya dia yang tidak pernah jawab.

“Pada saya Khairy berhutang penjelasan kepada penduduk-penduduk di Sungai Buloh, pengundi-pengundi di sini,” katanya kepada pemberita selepas program Ziarah Prihatin di Jalan Merbau dan Jalan Bunga Tanjung.

Semalam Khairy mencabar pembangkang agar membuat tuduhan dengan jelas apabila cuba mengaitkan beliau dengan kluster mahkamah.

Beliau menegaskan, pembangkang tidak perlu berselindung apabila membuat tuduhan, apatah melibatkan cerita-cerita lama yang telah terbukti tiada pendakwaan dan bukti untuk mengheretnya ke mahkmah.

Mengulas lanjut, Khairy menegaskan, isu kehilangan dana RM100 juta milik Kementerian Belia dan Sukan (KBS) cuba dikitar semula pembangkang sedangkan pegawai KBS yang libat sudah dihadapkan ke mahkamah.

Ramanan dalam Ceramah Mega di Paya Jaras pada Ahad lalu mengulangi dakwaan yang pernah dikaitkan dengan Khairy.

Sementara itu, beliau menggesa Khairy membuat pengisytiharan aset.

Menurut Ramanan, pengundi Sungai Buloh berhak tahu untuk menjamin integriti calon BN itu.

“Ada saya terbaca mereka tanya pasal deklarasi aset. Saya sudah isytihar aset saya. Saya tidak fikir penduduk-penduduk Sungai Buloh nak tahu berapa cincin, jam tangan dan rantai saya ada. Saya sudah buat. Cybertrooper-cybertrooper BN saya tanya mereka, tanya balik Khairy apa yang dia sudah isytihar asetnya?

“Penduduk Sungai Buloh nak tahu. Pasal itu kita tengok Ahli Parlimen secara teliti dari PKR semua kena buat deklarasi tidak ada apa yang perlu disembunyikan,” katanya. – MalaysiaGazette