Gambar hiasan

SEOUL- Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol berjanji untuk melakukan rombakan terhadap pasukan polis dan pengurusan keselamatan susulan tragedi sambutan Halloween yang meragut 156 nyawa dan mencederakan 197 orang.

Beliau turut berikrar untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pegawai yang didapati cuai semasa insiden berkenaan.

Polis berdepan kritikan awam berhubung tindak balas mereka kerana hanya menghantar 137 pegawai ke kawasan berkenaan, walaupun menganggarkan lebih awal bahawa seramai 100,000 orang akan berkumpul di lokasi itu.

Dalam masa yang sama, Suk-yeol membuat permohonan maaf terbuka kepada semua rakyat terutamanya ahli keluarga mangsa tragedi berkenaan.

Permohonan terbuka itu dibuat semasa mesyuarat  untuk mengkaji semula peraturan keselamatan dengan negara masih berkabung susulan tragedi berdarah itu.

Tragedi pada 29 Oktober itu berlaku apabila pengunjung membanjiri kawasan  Itaewon untuk merayakan Halloween buat pertama kali dalam tempoh tiga tahun selepas Korea Selatan membatalkan semua sekatan Covid-19.- Agensi