Seramai 13 calon parti Berjasa akan bertanding atas tiket GTA menggunakan logo parti Pejuang.

KUALA LUMPUR – Parti Berjasa, antara komponen Gerakan Tanah Air (GTA) berjanji segala projek transformasi pendidikan, pembangunan Sains dan Teknologi serta kelestarian alam sekitar akan dipacu dengan lebih efektif dan telus tanpa sebarang ketirisan sekiranya diberi peluang membentuk kerajaan baharu pada 20 November ini.

GTA juga akan memastikan Malaysia menjadi sebuah negara unggul dan dihormati dunia dengan kepimpinan baharu yang berteraskan identiti nasional yang padu serta kemahiran mengurus negara bertaraf dunia.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Berjasa, Ir. Ts. Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad berkata, Malaysia memerlukan kepimpinan baharu untuk menjadi negara yang unggul dan bermaruah setelah Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) gagal sebelum ini.

“Rakyat harus memberi peluang kepada GTA dan Berjasa serta rakan komponennya untuk membuktikan kemampuan para profesional, usahawan dan tokoh NGO untuk memimpin negara.

“Tujuan kita bertanding pada PRU15 ini adalah hendak menjadi ‘game-changer’ yang merubah undang-undang permainan politik Malaysia yang selama ini didominasi para ‘career-politician’.

“Kita akan menumbangkan golongan elit politik ini untuk membolehkan GTA mengembalikan segala hasil kekayaan dan kemajuan negara kepada rakyat, seterusnya meningkatkan taraf ekonomi dan sara hidup mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Berjasa meletakkan 13 pemimpinnya bertanding atas tiket Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pada PRU15 ini.

Mereka ialah Zamani Ibrahim di kerusi Parlimen Tampin, Negeri Sembilan; Datuk Mohd Rosli Ramli (Putrajaya), empat di Perak iaitu Auzaie Fadzlan Shahidi (Larut), Zulkifli Yahya (DUN Batu Kurau), Meor Muhammad Azim Meor Aznam (DUN Slim) dan Shaharuzzaman Bistamam (DUN Belanja).

Parlimen di Selangor ialah Fahmi Bazlan Muda (Kota Raja), Pathan Hussin (Kapar) dan Annuar Salleh (Bangi), manakala Hamidi Abu Hassan di Parlimen Kepala Batas, Pulau Pinang.

Di Melaka pula, Berjasa mempertaruhkan Muhammad Nazriq Abdul Rahman bertanding kerusi Alor Gajah dan Dr. Mohammad Nor Sundari (Indera Mahkota) serta calon tunggal wanita, Dr. Rashidah Abd. Rahman di DUN Semambu, Pahang. – MalaysiaGazette