Gambar hiasan

SUNGAI BULOH – Bekalan telur seluruh negara dijangka kembali pulih dalam tempoh dua bulan.

Justeru Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi Tan Sri Annuar Musa menasihatkan penternak ayam supaya meningkatkan pengeluaran telur berbanding menjual ayam.

Ia susulan daripada pengumuman subsidi baharu yang dijangka dapat membantu mereka daripada terus mengalami kerugian.

“Kita akan berusaha memastikan bekalan telur sentiasa ada dan harga tidak meningkat terutama dekali semasa musim perayaan, banjir dan sebagainya.

“Pemain industri juga telah dinasihatkan agar tidak sembelih ayam terlalu awal supaya ia dapat bertelur.

“Saya juga merayu kepada sesetengah pihak agar tidak menyeludup telur ke negara jiran,” katanya.

Terdahulu beliau hadir di Central Mart, Taman Saujana Utama bagi membantu Khairy Jamaluddin, calon Barisan Nasional Parlimen Sungai Buloh berkempen.

Jelas beliau, kerajaan memutuskan untuk  meneruskan pemberian subsidi kepada penternak ayam dan pengeluar telur ayam bermula Oktober hingga akhir tahun ini membabitkan kadar 80 sen bagi sekilogram ayam, manakala lapan sen bagi sebiji telur.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira harga siling kedua-dua bahan mentah berkenaan.

Untuk rekod, Annuar mendedahkan kegiatan penyeludupan telur khususnya dari Kelantan ke Thailand menjadi antara punca utama berlakunya kekurangan bekalan telur di dalam negara.- MalaysiaGazette