Maritim Malaysia sebuah bot nelayan tempatan pukat jerut Kelas C2 yang disyaki melanggar syarat sah lesen kerana menggaji kru asing tanpa permit yang sah pada jarak lebih kurang 4.8 batu nautika dari Kuala Endau Rompin, lebih kurang jam 9.30 pagi semalam

KUANTAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang menahan sebuah bot nelayan tempatan pukat jerut Kelas C2 yang disyaki melanggar syarat sah lesen kerana menggaji kru asing tanpa permit yang sah.

Bot tersebut ditahan kira-kira 4.8 batu nautika dari Kuala Endau Rompin pada jam 9.30 pagi semalam.

Pengarah Maritim Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, bot yang sedang bergerak menuju ke muara Sungai Endau, Rompin diperiksa seterusnya ditahan oleh bot pemintas Maritim Malaysia yang sedang dalam rondaan Op Makmur di perairan Pahang.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 dimana 15 kru disyaki menggunakan permit kerja yang telah tamat tempoh manakala sembilan kru termasuk tokong tidak memiliki dokumen yang sah.

“Pemeriksaan lanjut ke atas bot tersebut mendapati dua kru termasuk tekong warga Thailand dan 22 kru warga Kemboja kesemuanya seramai 24 orang berumur antara 21 hingga 50 tahun.

“Bot dan kesemua kru termasuk tekong telah ditahan dan diiring masuk ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading, Rompin bersama peralatan menangkap ikan dan hasil laut yang dianggarkan sebanyak 4,000 kilogram untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Kamal Ariffin, Maritim Malaysia akan memperkasakan penguatkuasaan serta menggesa komuniti maritim terutamanya komuniti nelayan tempatan agar sentiasa mematuhi undang-undang dan mengutamakan keselamatan apabila berada di laut dengan sentiasa memakai jaket Keselamatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan di laut boleh menyalurkannya dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast