anwar
Mohamad Sabu berucap pada program Jelajah Mega Harapan di Dataran Taman Indah, Tampin, malam tadi.

TAMPIN – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan mempunyai kelebihan untuk menjadi Perdana Menteri ke-10 berbanding calon-calon yang diketengahkan parti-parti lain.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, Anwar terkenal di pentas antarabangsa seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan pernah menjadi pensyarah universiti-universiti utama di Amerika Syarikat (AS).

Sehubungan itu, penyandang kerusi Parlimen Kota Raja itu meminta semua pihak agar tidak mempertikaikan kelayakan Anwar untuk mengetuai pentadbiran negara.

“Tokoh tak tokoh, kalau 19 November nanti kita dapat kurang daripada 112 undi, tinggallah Anwar dengan kampungnya di Cheruk Tok Kun,” katanya ketika berucap pada program Jelajah Mega Harapan di Dataran Taman Indah, Tampin, malam ini.

Beliau turut mengingatkan bahawa bagi memastikan hasrat Anwar menjadi Perdana Menteri dapat dicapai, kesemua lapan kerusi Parlimen di negeri ini mesti dimenangi oleh PH.

Faiz Fadzil berucap pada program Jelajah Mega Harapan di Dataran Taman Indah, Tampin, malam tadi.

Sementara itu, calon PH bagi kerusi Parlimen Tampin, Faiz Fadzil menafikan dakwaan bahawa gabungan pembangkang itu gagal menunaikan janji-janji mereka semasa berkuasa dahulu.

Naib Presiden Amanah itu berkata, sebagai bukti, harga petrol RON95 telah diturunkan kepada RM2.05 seliter manakala kadar tol dikurangkan sebanyak 18 peratus.

“Adakah kita mungkir janji?” soalnya ketika berucap pada program yang sama.

Beliau juga yakin pengundi di Tampin dan di kawasan-kawasan Parlimen lain di negeri ini akan memilih PH setelah melihat kecemerlangan kerajaan negeri di bawah PH. – MalaysiaGazette