Menteri Besar Selangor yang juga calon Pakatan Harapan P.098 Gombak, Datuk Seri Amirudin Shari ketika berucap pada ceramah Pilihan Raya Pakatan Harapan sempena Pilhan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Pangsapuri Laksamana Kampung Laksamana Gombak, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 07 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Amirudin Shari mahu pengundi India di Parlimen Gombak terus setia dengan Pakatan Harapan (PH) dalam usaha beliau merampas kerusi yang disandang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang kini mewakili Perikatan Nasional (PN).

Menteri Besar Selangor itu berkata, beliau yang terhutang budi dengan komuniti India atas keikhlasan mahu semangat tersebut diterjemahkan kepada kemenangan Pakatan Harapan (PH).

“Ini bukan kali pertama saya ke sini, masih segar dalam ingatan pertama kali datang meraih undi, sokongan anda semua pada 2008 di Kampung Laksamana di sini untuk kempen PRU12.

“Bermula hari berkenaan sehingga sekarang kesetiaan masyarakat umum khususnya komuniti Hindu di sini setia sokong saya sehingga hari ini, saya bersyukur dan terharu dengan kesetiaan anda yang sememangnya percaya dengan pembaharuan di bawah PH selama ini,” katanya ketika berucap dalam Ceramah Kelompok Pangsapuri Laksamana Jaya, Batu Caves, di sini, malam tadi.

Menteri Besar Selangor yang juga calon Pakatan Harapan P.098 Gombak, Datuk Seri Amirudin Shari ketika berucap pada ceramah Pilihan Raya Pakatan Harapan sempena Pilhan Raya Umum ke-15 (PRU15) di hadapan Komuniti India di Pangsapuri Laksamana Jaya, Kampung Laksamana, Batu Caves di Gombak, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 07 NOVEMBER 2022.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Tua itu, kerajaan negeri di bawah kepimpinannya sentiasa berlaku adil kepada semua lapisan masyarakat walaupun kampung Laksamana majoritinya adalah masyarakat India.

“Saya gembira dengan dana negeri kita berjaya menangani masalah pungutan sampah, lif rosak, selain menjadikan negeri Selangor yang pertama di Asia Tenggara menyediakan insurans perlindungan secara percuma kepada enam juta penduduknya selepas tempias Covid dan banjir kilat yang mengorbankan nyawa dan menghancurkan harta benda penduduk negeri.

“Kalau lihat spesifik kepada masyarakat India, kita masih meneruskan bantuan tambang bas sekolah percuma, dana keusahawanan masyarakat India dan asrama sekolah untuk anak-anak komuniti India yang tidak pernah dibuat di negeri lain,” jelasnya.

Amirudin berkata, semua kejayaan ini dikecapi hanya dengan semangat kerjasama dan sokongan padu masyarakat majmuk serta dasar kejujuran, ketekunan, komitmen selain iltizam politik.

Katanya, PH mahu kejayaan mentadbir negeri ke peringkat Parlimen kerana terdapat banyak peraturan dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. – MalaysiaGazette