SEBERANG PERAI – Seorang anggota polis maut selepas motosikal yang ditungganginya melanggar belakang sebuah kenderaan petugas Projek Penyelenggaraan Lebuh Raya Berhad (PROPEL) di Kilometer 5.3 Jambatan Pulau Pinang (menghala Pulau) di sini, hari ini.
Mangsa, Koperal Abu Talib Sarif, 33, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan pada anggota badan.
Kejadian berlaku jam 12.45 tengah malam ketika mangsa yang bertugas di Bahagian D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang itu dikatakan baru selesai tugasan membabitkan Pilihan Raya Umum Ke-15 di Bukit Mertajam dan dalam perjalanan ke rumahnya di Batu Uban.
Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa melanggar belakang pacuan empat roda jenis Toyota Hilux milik PROPEL.
Akibat pelanggaran tersebut, mangsa yang sudah berumahtangga itu, cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi.
Mayat mangsa dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut dan jenazah dijangka akan dikebumikan di Sungai Petani, Kedah.
Mangsa dikatakan baru dimasukan ke Bahagian D9 pada Oktober lalu dan sebelum ini berkhidmat di Bahagian Trafik.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Tan Cheng San mengesahkan kejadian tersebut. – MalaysiaGazette