Seorang pengurus syarikat kontraktor direman lima hari di Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh hari ini selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan memalsukan dokumen Surat Pengesahan Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Melaka.

MELAKA – Seorang pengurus syarikat kontraktor direman lima hari di Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh di sini selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan memalsukan dokumen Surat Pengesahan Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Melaka.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Mazana Sinin terhadap lelaki berusia 56 tahun itu sehingga 12 November ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Terdahulu, suspek tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 9.30 pagi dengan memakai baju lokap SPRM selepas ditahan petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM di Alai, di sini.

Lelaki tersebut ditahan selepas dipercayai bersubahat dengan seorang pengurus syarikat pelancongan bergelar Datuk bagi mengemukakan dokumen palsu Surat Pengesahan Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Melaka kepada Majlis Datuk-Datuk Negeri Melaka.

Pengarah SPRM negeri, Mohd. Shahril Che Saad ketika dihubungi turut mengesahkan penahanan reman tersebut. – MalaysiaGazette.