Barang rampasan daripada dua lelaki yang disyaki menyamun sebuah kedai serbaneka bersenjata tukul besi di Taman Maju Jaya, Sabtu lepas. Ihsan polis IPD PJ

PETALING JAYA –Dua lelaki yang disyaki menyamun sebuah kedai serbaneka 24 jam di Taman Maju Jaya Sabtu lalu berjaya diberkas polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian samun berkumpulan, jam 5.28 pagi.

Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan kedua-dua lelaki berkenaan di sebuah premis tidak bernombor di sini sekitar jam 3.30 petang.

Fakhrudin berkata, siasatan awal mendapati dua lelaki tempatan masuk ke dalam premis tersebut dengan memakai topi keledar, berpelitup muka dan menunjukkan tukul besi ke arah mangsa.

“Lelaki terbabit berjaya melarikan sejumlah wang tunai berjumlah RM560 serta 49 kotak rokok pelbagai jenama dari premis tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, semakan mendapati salah seorang lelaki terbabit memiliki 12 rekod lampau jenayah dan satu rekod dadah, manakala seorang lagi mempunyai satu rekod dadah.

Kedua-dua lelaki berkenaan direman lima hari bermula Ahad lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.- MalaysiaGazette