KUALA LUMPUR – Skuad Brazil ke Piala Dunia akan diketuai Neymar dan pemain veteran berusia 39 tahun, Dani Alves dalam usaha memburu gelaran keenam walaupun menyisihkan penyerang Liverpool, Roberto Firmino.
Apa yang mengejut, Alves yang juga bekas pemain Juventus dan Paris Saint-Germain dan kini bersama kelab Mexico, Pumas sejak Julai lalu, disenaraikan jurulatih, Tite dalam pasukan walaupun tidak bermain satu perlawanan dalam tempoh dua bulan.
Dia ialah pemain tertua pernah dinamakan untuk skuad Piala Dunia Brazil dan akan terbabit dalam edisi ketiganya pada kejohanan itu.
Namun Firmino yang kembali beraksi cemerlang buat Liverpool musim ini gagal mendapat tempat ke Qatar.
Tite memilih penyerang lain seperti bintang Arsenal, Gabriel Jesus, perancang Flamengo, Pedro dan pemain Tottenham, Richarlison yang baharu pulih daripada kecederaan.
Sementara itu, Neymar mengetuai Skuad ‘Selecao’ untuk menamatkan kemarau juara lima kali Piala Dunia itu selama 20 tahun.
Bermain dalam Piala Dunia ketiganya, dia diharapkan dapat menutup mulut pengkritik yang mendakwanya selalu menjatuhkan diri selain gagal menyerlah ketika diperlukan.
Di bahagian serangan, dia akan dibantu Vinicius Junior dari Real Madrid dan bintang Arsenal, Jesus yang memberikan pasukan pilihan itu kekuatan sebenar.
Brazil tidak tewas di pusingan kelayakan ke Piala Dunia apabila hanya dibolosi lima kali daripada tujuh perlawanan dan menduduki tangga teratas zon Amerika Selatan. – MalaysiaGazette