Kajang Hulu Langat tahfiz centre madrasah bully bullies Mohd Zaid Hassan
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan. PIX: HAFIZ SOHAIMI / MalaysiaGazette / 28 JUNE 2021. Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Zaid Hassan. Foto HAFIZ SOHAIMI, 28 JUN 2021.

KAJANG – Polis memburu dua individu yang disyaki melakukan jenayah samun di sebuah klinik pergigian di Bandar Seri Putra ,di sini, hari ini

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, siasatan terhadap klip video yang tular mengenai insiden tersebut mendapati suspek merupakan dua lelaki warga tempatan.

Tambahnya, ketika kejadian, kedua-dua suspek memakai topi keledar dan bersenjatakan parang telah masuk ke dalam klinik pergigian itu.

“Kedua-dua penjenayah kemudian mengacu parang dan merompak staf serta pelanggan di dalam klinik tersebut.

“Suspek telah melarikan sebuah Macbook, dua telefon bimbit, wang tunai lebih kurang RM2,000 dan seutas rantai emas dalam kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Zaid, semua mangsa yang berada di dalam premis tidak mengalami sebarang kecederaan dan selamat.

Jelasnya, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merompak secara berkumpulan dengan menggunakan senjata yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp. Mohd Raziman Rasid di talian 019-4565502. -MalaysiaGazette