Calon Barisan Nasional (BN) N.02 Temengor, Salbiah Mohamed ditemubual sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan, Ipoh. Foto MOHD ADZLAN, 07 NOVEMBER 2022.

IPOH – Bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sejak Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan menang selama dua penggal, penyandang DUN Temengor, Salbiah Mohamed yakin  Barisan Nasional (BN) kekal jadi pilihan pengundi pada PRU kali ini.

Salbiah yang mula bergelar Yang Berhormat sejak berusia 35 tahun sekali lagi diberikan amanah oleh parti BN untuk kembali menjadi calon DUN Temengor yang terletak di Parlimen Grik buat kali ketiga.

Bercakap dengan MalaysiaGazette baru-baru ini, wanita muda ini berkata, keyakinan itu bukan sahaja kerana rekod kerja dan khidmatnya sebaliknya perjuangan BN yang berpaksikan kepada kebajikan dan pembelaan rakyat.

“Daripada gerak kerja yang kita lakukan, tidak kira di Temengor atau mana-mana kawasan wakil rakyat BN, kita tidak tunggu musim PRU tetapi terus berkhidmat sepanjang masa, tanggungjawab dan amanah ini sejak PRU14 lagi.

“Ketika itu kita bukan kerajaan lagi kita sudah turun ‘all out’. Pengundi-pengundi juga dapat melihat, menilai mana parti yang benar-benar telah menjalankan amanah dan tanggungjawabnya membela nasib mereka.

“Pengundi-pengundi di DUN N02 Temengor, insya Allah saya yakin BN akan jadi pilihan mereka. Dengan maklum balas, kita sentiasa terima sokongan tidak berbelah bahagi, tidak kira ketika kita turun padang, program kita adakan mahupun interkasi di media sosial,” katanya.

Pada PRU14, DUN Temenggor dimenangi Salbiah apabila mengalahkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mhd Supian Nordin dengan majoriti 3,215. Salbiah memperoleh 9,331 undi dan Mhd Supian mendapat 6.116 undi.

Calon Barisan Nasional (BN) N.02 Temengor, Salbiah Mohamed ditemubual sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan, Ipoh. Foto MOHD ADZLAN, 07 NOVEMBER 2022.

Salbiah akan berdepan tiga penjuru iaitu Perikatan Nasional (PN), Mohd Noor Abdul Rahman dan Pakatan Harapan (PH), Ahmad Safwan Mohamad.

Kata Salbiah lagi, beliau tidak menolak seandainya ada lagi ‘tsunami’ seperti PRU14 namun amanah dan rekod kerja itu akan tetap menjadi ukuran bahawa pengundi kekal setia bersama BN.

“Sebagai wakil rakyat yang diberikan mandat, saya akan cuba sedaya upaya memastikan segala kebajikan, pembangunan saya jaga dengan baik sekali. Pengundi di Grik terutamanya di DUN Temengor akan melihat apa yang telah kita lakukan serta tawaran parti lain.

“Perkara ini mudah, walaupun parti lawan kalah masih boleh turun kawasan, rumah ke rumah. Ini tidak, hanya bila hendak PRU nampak muka. Sebagai sebuah parti politik, haruslah menjadi tanggungjawab juga.

“Contoh terbaik, masa BN bukan kerajaan, rakyat masih cari kami memohon bantuan dan kami meneruskan khidmat kita walaupun tidak menang kerajaan ketika itu. Pembangkang juga perlu begitu dan tidak retorik sentiasa,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast