KUANTAN – “Sepanjang lima tahun tak nampak muka, dah lepas lima tahun pun tentu tak nampak muka.”
Itu luahan salah seorang warga parlimen Indera Mahkota ketika ditanya tentang prestasi wakil rakyat di kawasan tersebut.
Dengan nada kesal, Adam Sukhadev berkata, masalah di parlimen tersebut seperti jalan berlubang, lampu isyarat rosak, tiada kemudahan awam dan longkang tidak boleh dipandang remeh oleh wakil rakyat.
Ini kerana, katanya, wakil rakyat dipilih oleh rakyat justeru tidak boleh berlagak seperti ‘boss’ sebaliknya pengundi yang memilih beliau sepatutnya dilayan seperti ‘boss’.
“Anda adalah wakil kepada rakyat, bukan boss kepada rakyat. Kami yang undi anda, kalau kami tak undi awak jadi orang biasa.
“Di sini nothing has changed. Tiada apa-apa perubahan, jalan banyak berlubang, no repair, traffic light rosak, nothing has be done. Longkang sumbat, tiada kemudahan awam.
“Selepas lima tahun pun masi belum nampak muka. Change, change for the better, change for the people, not for the anything else,” katanya lelaki berusia 62 tahun ini.
Sementara Hasmalina Hassan, 44, yang bertugas sebagai pensyarah berkata, Indera Mahkota yang menjadi tumpuan pusat pengajian tinggi kini semakin semakin sesak sehingga membebankan pengguna jalan raya.
Katanya, biar pun parlimen tersebut kini mempunyai pelbagai kelengkapan namun kemudahan awam perlu dipertingkatkan bagi mengurangkan masalah kesesakan lalu-lintas dan memudahkan pergerakan para pelajar.
“Indera Mahkota berkembang, nak apa-apa ada di Indera Mahkota, tetapi masalah utama apabila ia berkembang aliran trafik sesak terutamanya waktu kemuncak.
“Tingkatkan kemudahan awam untuk pelajar mungkin pengangkutan bas kena diperbanyakkan. Sekarang pelajar terpaksa ambil Grab dan agak mahal untuk mereka,” katanya sambil berharap wakil rakyat yang terpilih kelak akan menyelesaikan masalah tersebut.
Sementara itu, Nik Ahmad Arifatillah Nik Man, 24,yang berkhidmat sebagai pengahantar makanan merayu kerajaan yang dilantik kelak menaik taraf jalan yang ada berikutan peningkatan kadar kemalangan akibat jalan raya yang tidak diselenggara.
“Saya rider hari-hari lalu jalan. Tolong buat penambahbaikan jalan, ada jalan yang rosak dan berlubang sebab ada di kalangan penghantar makanan yang kemalangan sebab jalan raya berlubang.
“Harapan pihak yang mewakili rakyat nanti tolong bantu permudah kami cari rezeki, dapat tolong rakyat susah dan siapa yang perlu diberikan perhatian itu bantulah,” katanya ringkas. – MalaysiaGazette