GEORGE TOWN – Seorang pelajar kolej swasta antara 11 lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan merusuh dengan bersenjata, pada bulan lalu.
Kesemua tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Majistret Noor Idayu Salim.
Mereka ialah Mohamad Nun Mohamad Jupri, 34; V. Rathakisnan, 22; M.D. Soman Sri, 19; Muhammad Haikal Mohammad Rafiq, 19; Chad Sebastian George Albert, 19; Elijah Yong, 19; Cheow Junnuo, 24; Tony Yen Chun Yun, 19; R. Divagar, 20; Muhammad Amirul Hafiz Abdullah, 21, dan Ng Chern Yeow, 24.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama hadir dan menyertai rusuhan serta memiliki benda yang boleh memudaratkan atau senjata maut yang boleh digunakan sebagai senjata untuk menyerang.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 2.45 pagi di hadapan SJKC Kong Min Cawangan Kedua, Ayer Itam di sini, pada 29 Ogos lalu.
Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Marissa Safina Saiful Adli manakala 10 tertuduh diwakili peguam K. Mahendran dan Sharmila Mogan.

Sementara itu, Tony Yen Chun Yun merupakan seorang pelajar kolej swasta di negeri ini diwakili peguam, Edric Loo.
Ketika prosiding, Siti Marissa menawarkan jaminan RM10,000 terhadap setiap tertuduh serta syarat tambahan lapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.
Majistret kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan lapor diri di balai polis berhampiran kediaman sebulan sekali.
Kes akan disebut semula pada 19 Oktober untuk serahan dokumen.
ARTIKEL BERKAITAN
Pelayan restoran tak mengaku bersalah cuba bunuh seorang lelaki
Pergaduhan di Ayer Itam membabitkan Geng 04 – Polis
Media sebelum ini melaporkan polis menahan 23 lelaki dalam beberapa siri serbuan di negeri ini dan Selangor susulan rusuhan bersenjata membabitkan dua kumpulan Geng 04 di Ayer Itam pada 29 Ogos lalu. – MalaysiaGazette
















