Antara beg tangan mewah yang dicuri daripada kedai berjaya dirampas dalam tangkapan pada Sabtu lepas. Ihsan IPD Sentul

KUALA LUMPUR – Tiga suspek termasuk seorang lelaki yang menjadi dalang utama sindiket mencuri beg tangan mewah ditahan Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Beh Eng Lai berkata, kegiatan itu terbongkar selepas pengadu melaporkan kejadian kecurian beg tangan mewah di Solaris Dutamas pada 1 November lalu.

Bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul telah melakukan beberapa serbuan dan menahan seorang lelaki dan dua wanita berusia antara 28 hingga 30 tahun.

Mereka ditahan di sebuah rumah yang terletak di Salak Selatan.

“Hasil pemeriksaan di dalam rumah tersebut, polis berjaya merampas sebuah beg tangan berjenama mewah Louis Vuitton yang dilaporkan hilang, dua keping resit, sepasang pakaian yang dipakai oleh suspek lelaki ketika kejadian serta wang tunai berjumlah RM22,300,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tangkapan dua suspek wanita itu membawa kepada serbuan di dua premis perniagaan di Bukit Bintang, yang dipercayai membeli barangan curi yang dijual oleh mereka.

“Dalam pemeriksaan lanjut, polis merampas barangan curi yang dijual oleh suspek kepada mereka antaranya adalah tiga beg tangan mewah yang dilaporkan hilang dan dua keping resit pembelian yang tertera nama suspek.

“Kegiatan itu didalangi oleh suspek lelaki berusia 30 tahun yang menyasarkan kedai menjual beg tangan mewah serta menyamar sebagai pembeli untuk berurusan di kaunter.

“Suspek yang menyamar sebagai pelanggan kemudian akan meminta pekerja kedai untuk mengambil barangan yang tidak dipamerkan di dalam stor, dan setelah ditinggalkan sendirian, suspek akan membawa lari kesemua barangan yang berada di atas kaunter,” ujar beliau.

Beh Lai berkata, pengadu mengambil masa tiga hari untuk laporan polis kerana pada awalnya berusaha mencari beg yang disedari hilang dan akhirnya mendapat tahu ia sebenarnya dicuri.

Barangan yang dilaporkan hilang adalah dua beg tangan jenama Chanel, sebuah beg tangan jenama Hermes dan sebuah beg jenama Louis Vuitton yang kesemuanya berharga RM145,288.

Polis mendapati beg tangan yang dicuri akan dijual kepada kedai beg tangan mewah terpakai, pada harga lebih rendah daripada harga pasaran iaitu antara RM15,000 hingga RM50,000.

Suspek utama mempunyai tiga rekod kesalahan jenayah lampau dan kini sedang ditahan reman bermula Sabtu sehingga 10 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Manakala dua lagi suspek wanita merupakan adik beradik sementara salah seorang daripadanya adalah kekasih kepada suspek utama itu dan mereka dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai dirakam keterangan 7 November lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast