Perang bendera antara parti yang bertanding kian hangat apabila kibarannya mula menghiasi di sekitar jalan sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Gugusan Manjoi, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 07 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – DAP melihat peluang kemenangan Pakatan Harapan (PH) berada pada tahap 50:50 dan mesti berusaha lagi untuk memperoleh kejayaan.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, pada masa ini sudah melihat banyak arus, tetapi pembentukan tsunami adalah sukar diramalkan lebih awal.

Beliau berkata demikian kepada Sinchew Daily sebagai mengulas pertanyaan sama ada tsunami politik pada 2018 akan berulang.

“Semua berada pada tahap 50:50 dan mesti berusaha. Semua pun ada peluang, tetapi tiada satu pakatan yang betul-betul yakin,” katanya.

Beliau berkata, jika pilihan raya diadakan enam bulan lalu, keadaannya adalah tidak menguntungkan PH malahan ada yang sudah putus asa susulan kekalahan dalam pilihan raya negeri di Johor dan Melaka.

Anthony bagaimanapun berkata, rentak politik berubah dengan sangat pantas dan banyak perubahan berlaku dalam tempoh enam bulan.

“Orang UMNO sendiri tidak yakin untuk menang. BN dan PN juga tidak berani berkata PH pasti akan kalah dan tidak berpeluang membentuk kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, pada peringkat ini juga terlalu awal untuk berbincang tentang pembentukan kerajaan kerana perbincangan itu hanya membazir masa dan mengelirukan pengundi.

Katanya, sasaran PH adalah menawan 112 kerusi Parlimen untuk mendapat majoriti mudah manakala sasaran DAP pula menyumbang 42 kerusi ke atas.

Beliau turut menamakan beberapa kerusi yang dijangka sengit iaitu Bentong dan Raub di Pahang serta Labis di Johor.

“Cameron Highlands dan Ayer Hitam adalah sukar, oleh itu kami meletak calon-calon yang boleh menang,” katanya.

Ujarnya, DAP juga menyasarkan kemenangan di kubu-kubu kuat UMNO seperti Jelai, Gerik, Lipis, Mersing dan Pontian.

Anthony berkata, keyakinan pengundi terhadap BN dan PN terjejas susulan keadaan hura-hara yang berlaku dalam pengagihan kerusi dan perletakan calon yang seterusnya akan menyebabkan sabotaj.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast