SHAH ALAM – Ada beberapa keluarga yang terkesan dengan banjir kilat di Shah Alam petang semalam, tetapi tidak perlu berpindah kerana air surut dengan cepat.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, hujan lebat beserta ribut petir memang sudah dijangka berlaku kerana ini adalah musimnya.
Sungguh pun begitu, kata beliau, kerajaan negeri sentiasa bersiap sedia dan turun ke lapangan jika berlaku banjir kilat seperti semalam.
“Dalam keadaan semalam, semua pam yang ditempatkan di lokasi mudah dinaiki air aktif dengan baik menyedut takungan air bagi mengelakkan satu-satu kawasan itu dinaiki air.
“Cuma dalam kejadian banjir kilat semalam, terutama di kawasan Sri Muda dan beberapa kawasan yang terjejas disebabkan juga kejadian air pasang yang agak tinggi.
“Apabila air pasang yang tinggi, pintu air di Sri Muda terpaksa ditutup. Kalau tidak tutup, akan berlaku limpahan air laut akan menenggelami ke kawasan darat. Ini akan lebih parah,” katanya pada sidang media khas di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, petang ini.
Media semalam melaporkan, hujan lebat beserta angin kencang yang melanda Shah Alam menyebabkan beberapa kawasan dilanda banjir kilat kira-kira jam 3 petang.
Hujan yang berterusan sehingga jam 5.30 petang itu dan reda pada jam 6 petang memaksa penduduk di Seksyen 17, Seksyen 24, Seksyen 25, Seksyen 32, Sri Muda dan Kampung Padang Jawa berada dalam keadaan berjaga-jaga.
Menurut Amirudin, walaupun ada beberapa kelewatan dalam kerja mengepam air keluar dari takungan, masalah itu berjaya diatasi dan kini semua pegawai yang terlibat berada dalam keadaan berjaga-jaga.’
Katanya, Pos Kawalan Hadapan juga beroperasi dengan lancar dan turut memberi taklimat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Dr. Latiff Ahmad yang turun ke kawasan itu selepas dimaklumkan mengenai kejadian. – MalaysiaGazette