Dr. Asyraf bersama penduduk setempat dalam program walkabout di pasar awam hari ini.

GERIK – Masuk hari kelima kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Gerik, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki meneruskan program menyantuni masyarakat untuk mendengar apa mereka ingin.

Menurut Ketua Pemuda UMNO Malaysia itu, antara yang disuarakan ialah tidak ada kemudahan untuk ibu bersalin terutama di Pengkalan Hulu, menyebabkan mereka terpaksa ke Hospital Baling, Kedah yang agak jauh.

Tambahan pula, katanya, bayi yang dilahirkan di Hospital Baling akan didaftarkan di Kedah, bukan di Perak.

Dr. Asyraf beramah mesra dengan penduduk di pasar awam hari ini.

“Mereka juga menyuarakan mengenai kemudahan jalan raya Gerik-Jeli di Kelantan, selain jalan-jalan kampung yang perlu ditambah baik,” katanya hari ini.

Kata Dr. Asyraf, daerah itu mempunyai satu tempat pelancongan yang boleh dikomersialkan iaitu kawasan hutan semula jadi Royal Belum yang usianya lebih tua daripada hutan Amazon, Brazil.

Jelasnya, hutan simpan itu seharusnya boleh dikomersialkan kerana terdapat flora dan fauna yang mungkin tiada di hutan simpan lain.

“Di Hutan Royal Belum ini juga terdapat kawasan air panas yang boleh dijadikan tarikan ekopelancongan. Ini semua akan menyumbang ekonomi kepada Gerik.

“Saya juga akan jadikan Gerik hab pendidikan iaitu antara agenda yang akan dibawa kepada kerajaan supaya mewujudkan kampus satelit, ujarnya.

Masyarakat Cina menyambut baik kehadiran Dr. Asyraf di Gerik.

Beliau berkata, kampus satelit itu menawarkan kursus jangka pendek dan jangka panjang untuk program sijil serta diploma yang akan memberi manfaat kepada anak muda di daerah itu.

Katanya, beliau ada berbincang dengan beberapa Naib Canselor universiti tempatan supaya menjadikan Gerik sebagai hab penyelidikan dan pembangunan bagi beberapa kursus yang sesuai.

“Saya yakin, jika mendapat mandat sebagai Ahli Parlimen Gerik PRU15 ini, semua agenda ini saya akan perjuangkan untuk mengubahnya menjadi kawasan yang maju,” ujar beliau. – MalaysiaGazette