Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Pengerusi Barisan Nasional Negeri Johor, Datuk Hasni Mohammad (tiga kiri), Pengarah Operasi Pilihan Raya Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (tiga kanan) dan calon Barisan Nasional P.148 Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong(dua kiri) hadir pada Majlis Ramah Mesra bersama warga Parlimen Ayer Hitam sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Dewan Balora Suria, Jalan Ros, Ayer Hitam, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 09 NOVEMBER 2022.

BATU PAHAT – Segala peruntukan bagi melaksanakan setiap inisiatif dan bantuan seperti yang diumumkan dalam Bajet 2023  sudah tersedia untuk direalisasikan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sehubungan itu Barisan Nasional (BN) perlu memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti, bagi membolehkan segala inisiatif dan bantuan yang terkandung dalam Bajet 2023 dapat dilaksanakan.

Bajet 2023 adalah kedua di bawah kerajaan pimpinan Ismail Sabri dan yang kedua sejak Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dilancarkan pada 27 September tahun lepas.

Ismail Sabri seterusnya mengingatkan rakyat supaya tidak mudah terpedaya dengan segala janji yang dikemukakan pembangkang dalam manifesto mereka terutama menjelang PRU15.

“Saya sebut macam-macam tetapi pelaksanaannya hanya boleh dilakukan jika BN memerintah selepas PRU15 apabila kita bentangkan bajet ini di Parlimen.

“Bajet ini belum diluluskan, oleh itu kita perlu bentang semula dan yang menghasilkan bajet ini mewakili saya pada Barisan Nasional (BN).

“Jadi beritahu semua kawan-kawan kalau nak apa yang saya sebut tadi pastikan BN menang dahulu kerana orang lain belum tentu laksanakan apa kita rancang.

“Manifesto ini semua berdasarkna bajet yang kita bentangkan dan apabila kita bentangkan bajet dana sudah ada dan kita perlu ambil kira dana yang diumumkan. Lulus sahaja bajet kita laksanakan terus,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Rakah Mesra Warga Parlimen Ayer Hitam di Dewan Kompleks Balai Orang Ramai Taman Suria dekat Ayer Hitam.

Jelas Ismail,  perancangan BN berbeza dengan pembangkang kerana mereka hanya mengeluarkan manifesto tetapi tidak menunaikan janji.

“Mereka (pembangkang) ini hanya pandai janji macam-macam. Janji- janji yang dibuat hingga tidak dapat dilaksanakan. Percayalah jika kita beri peluang, mereka tidak akan mampu laksana.

“Saya percaya kita boleh tambah baik dari segi membela rakyat, tiada parti yang boleh dilakukan selain BN. – NalaysiaGazette