Datuk Seri Hazani Ghazali. Foto AFFAN FAUZI, 05 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia telah membuka dan menyiasat sebanyak 22 kertas siasatan pada Selasa berhubung kesalahan sepanjang berkempen bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Manakala seramai empat individu telah ditahan semalam bagi membantu siasatan berkaitan kesalahan kempen PRU15.

Pengarah Operasi PRU15 Polis Diraja Malaysia (PDRM), Komisioner Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, lima kertas siasatan dibuka di Johor, masing-masing tiga di Kedah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, dua di Perak manakala masing-masing satu di Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Kelantan, Sabah dan Sarawak.

“Kes pertama melibatkan seorang lelaki ditahan kerana dipercayai melakukan peras ugut terhadap pengadu di Bilik Gerakan BN, Bukit Bendera di Jalan Padang Tembak, Ayer Itam Pulau Pinang pada jam 4.30 petang semasa berkempen.

“Suspek mendakwa dia adalah gengster di kawasan terbabit dan lelaki itu turut meminta pengadu membuat pembayaran jika mahu memasang bendera parti untuk kempen di kawasan terbabit serta suspek akan membuat kacau jika pengadu mengingkari tuntutannya,” kata beliau dalam kenyataan di sini.

Kes kedua membabitkan laporan seorang pengadu yang mendakwa seorang lelaki telah memuat naik gambar kertas undi yang memaparkan nama parti dan calon yang bertanding di Parlimen Gua Musang dalam aplikasi kumpulan Whatsapp.

Katanya, pengadu berasa musykil bagaimana kertas undi tersebut diperoleh dan mempersoalkan tujuan ia dimuat naik dalam kumpulan WhatsApp tersebut.

Kes berkenaan sedang disiasat polis di bawah Seksyen 3 (1) (J) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

“Manakala, kes ketiga pula seorang pengadu  mendakwa seorang lelaki telah membuang bendera yang dipasang bersama ahli kempen BN ketika sedang memasang bendera parti pada jam 12.15 tengah malam di Jalan JB Air Hitam, Senai, Johor.

“Ketika anggota polis yang tiba di lokasi mendapati seorang lelaki mabuk telah membuat provokasi dengan cara mematahkan kayu bendera yang dipasang sebelum berjaya ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Kes keempat melibatkan pengadu bersama sepasukan polis sedang membuat pemantauan ceramah Pakatan Harapan melihat seorang lelaki membakar mercun di belakang pentas pada jam 10.48 malam di Jalan Bistari 4/1, Taman Yayasan, Segamat, Johor.

“Pengadu membuat tangkapan terhadap lelaki itu kerana membakar mercun terlarang dan tanpa permit di tapak kawasan ceramah kempen berlangsung.

“Tindakan lelaki itu boleh membahayakan orang ramai yang hadir untuk mendengar program ceramah tersebut dan kes berkenaan sedang disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” jelas beliau.

Menyentuh mengenai perkembangan harian statistik harian PRU15 bertarikh 8 November 2022, Hazani berkata sebanyak 3,457 permit untuk berceramah telah dikeluarkan di 14 kontinjen negeri.

Sabah mendahului senarai dengan kelulusan sebanyak 623 permit diikuti Johor (482) dan Perak (413), Sarawak (372), Selangor (320) dan Kedah (257).

Dalam masa yang sama sebanyak 177 ceramah tanpa permit pula turut direkodkan secara keseluruhannya dengan Negeri Sembilan mencatatkan 39 kes ceramah tanpa permit, Perak (38) dan ketiga di Selangor (25), Kedah (21) dan Kuala Lumpur (18),” tegas beliau. – MalaysiaGazette