Perbuatan vandalisme pada lampu di Bulatan Lemal, Pasir Mas mencacatkan pemandangan.

PASIR MAS – Perbuatan vandalisme oleh pihak tertentu merosakkan lampu pada beberapa huruf di Bulatan Lemal, di sini, mencetuskan kemarahan orang ramai.

Perkataan “Sayangi Pasir Mas” itu telah diubah supaya orang ramai yang melalui jalan berkenaan pada waktu malam melihatnya “Sayangi Pas…”.

Tindakan pihak terbabit memadamkan lampu pada huruf “…IR MAS”, mencacatkan pemandangan waktu malam di lokasi yang menjadi mercu tanda daerah itu.

Akibat perbuatan vandalisme pihak tertentu, mercu tanda Sayangi Pasir Mas dirosakkan sehingga timbul perkataan Sayangi Pas..

Bulatan Lemal adalah jalan simpang empat menghubungkan Kota Bharu, Rantau Panjang, Tanah Merah dan Pasir Mas, selain rangkaian laluan ke daerah Tumpat dan ke pintu keluar masuk sempadan negara jiran, Thailand.

Seorang individu yang mahu dikenali Nazri mengirimkan gambar ini kepada Malaysia Gazette, dengan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas pihak yang tidak bertanggungjawab itu.

Beliau memberitahu, perbuatan itu memperlihatkan parti berkenaan terdesak dalam kempennya menarik sokongan pengundi.

“Apabila terdesak, mereka sanggup lakukan apa sahaja termasuk mengupah pihak tertentu untuk merosakkan harta benda awam.

“Bulatan Lemal ini dipasang lampu neon oleh pihak berkuasa tempatan sebagai mercu tanda Daerah Pasir Mas, tetapi telah disalahgunakan oleh pihak yang berkempen dalam Pilihan Raya Umum ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast