Timbalan Presiden Malaysian International Humanitarian Welfare Foundation (MIHWF), Datuk Hamidah Osman (tengah) menyerahkan memorandum kepada Persuruhjaya, Datuk Mariati Robert (dua kanan) berkenaan Pengadilan Terhadap Datuk Seri Mohd Tun Abd Razak Dalam Kes SRC di Menera TH Perdana, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 9 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR — Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, dan Peguam Negara (AG) Tan Sri Idrus Harun perlu tampil menjawab persoalan berkenaan salah laku bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Timbalan Presiden Malaysian International Humanitarian Welfare Foundation (MIHWF) Datuk Hamidah Osman berkata, sehingga hari ini masih tiada maklum balas atau penafian berkenaan kertas siasatan Hakim Nazlan yang mempunyai konflik kepentingan ketika mendengar perbicaraan kes SRC.

“Kami agak terkilan sehingga kini, kami dah buat laporan polis, pergi ke pejabat AG serta SPRM. Tapi tiada satu pun respons yang diterima seolah-olah mereka buat bodoh”

“Walhal kita tengok seluruh rakyat Malaysia sedang menanti apakah fakta yang sebenarnya berlaku”

“Kita tahu kertas siasatan mengenai Hakim Nazlan telah pun tersebar luas. Kita cuma nak SPRM mengesahkan adakah IP (kertas siasatan) itu sah atau tidak,“ katanya.

Memorandum berkenaan Pengadilan Terhadap Datuk Seri Najib Razak Dalam Kes SRC di Menera TH Perdana, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 9 NOVEMBER 2022.

Terdahulu beliau mewakili MIHWF bersama Pengerusi Perhubungan Sahabat Ulul Amri Malaysia (PSUAM), Syed Muhammad Syed Abdul Aziz dan Aktivis Politik, Rahimi Osman menghantar memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Memorandum itu dihantar untuk meminta Suhakam campur tangan dalam ketidakadilan yang dihadapi mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ia diterima oleh Suruhanjaya Suhakam, Datuk Mariati Robert, dan Dr Chew Chee Ming serta Pegawai Suhakam, Aida Suraya yang disaksikan oleh kira-kira 20 penyokong Najib.

Menurut Hamidah, penyerahan memorandum ini adalah  lanjutan demi memastikan bekas ahli Parlimen Pekan itu mendapat keadilan.

“Suhakam berjanji akan meneliti kes ini secara terperinci dan akan memberi maklum balas dalam masa terdekat” katanya.

Syed Muhammad Syed Abdul

Sementara itu, Syed Muhammad berkata, AG perlu bersifat atas pagar, tidak memihak kepada mana-mana haluan.

“AG kena bertindak di tengah-tengah, bukan bias kepada sesiapa, itu yang kami mahukan”

“Hakim Nazlan telah membuat kesalahan Seksyen 220 Kanun Keseksaan kerana gagal mengisytiharkan kepentingan dan peranan beliau dalam kes SRC” katanya.

Justeru beliau juga memohon kepada Yang Dipertuan Agong (YDPA) Al Sultan Abdullah Riyatuddin Al Mustafa Billah Shah memanggil kedua-dua badan kerajaan terbabit untuk menghadap dan melihat bukti itu.

Kata beliau lagi, penghakiman dan pemenjaraan Najib telah dijadikan modal kepada semua yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mariati Robert bercakap kepada media selepas menerima  memorandum berkenaan Pengadilan Terhadap Datuk Seri Najib Razak Dalam Kes SRC di Menera TH Perdana, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 9 NOVEMBER 2022.

Pada 3 November lalu, AG diminta untuk mengambil tindakan segera terhadap Hakim Nazlan yang mengendalikan kes SRC International Sdn Bhd membabitkan bekas Perdana Menteri.

Malah sebelum itu lagi, pada 1 November lalu media melaporkan satu laporan polis dibuat untuk menggesa siasatan dibuat terhadap AG yang didakwa melindungi Hakim Mohd Nazlan dalam kes SPRM terhadapnya.

Presiden MIHWF Datuk M. Devman Segar membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi. -MalaysiaGazette