Nooryana (tengah) bertemu dengan jentera BN kerusi DUN Pauh di Arau, Perlis hari ini.

ARAU – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib meluahkan kekecewaan berhubung perpecahan yang sedang berlaku dalam UMNO khususnya membabitkan Parlimen Arau.

Anak perempuannya, Nooryana Najwa berkata, kekecewaan itu disampaikan kepadanya dalam satu perjumpaan keluarga di Penjara Kajang, baru-baru ini.

Jelasnya, Najib  tidak suka mendengar cerita perpecahan dalam parti  meskipun masih menghadapi kes mahkamah serta dipenjara.

Ia kerana, Najib sentiasa mengutamakan UMNO.

“Beliau sentiasa mempertahankan parti sebab beliau percaya apa yang dinikmati kerana parti. Dapat jawatan jadi menteri, menteri besar semua kerana parti.

“Beliau (Najib) sentiasa mempertahankan parti kerana beliau percaya apa yang kita nikmati semua ni adalah kerana parti,” kata Nooryana.

Terdahulu, Nooryana meluangkan masa bertemu jentera BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Pauh, di sini, hari ini.

Tambahnya, Najib sangat berharap semua ahli BN bersatu-padu dan menumpukan perhatian dalam PRU15 bagi mencapai kemenangan pada 19 November ini.

“Sama-samalah kita bekerja keras, menyantuni rakyat, pergi rumah ke rumah untuk meyakinkan mereka bahawa BN pilihan tepat.

“Beliau turut pesan agar kita fokus PRU15 ini untuk membela nasib rakyat sepenuhnya dan BN sahaja yang mampu berikan kestabilan kepada negara.

“Kita sudah lihat empat tahun berlalu, kita bazirkan masa dengan kerajaan yang tidak stabil dan kini kita kena ada mandat yang kukuh untuk jamin masa depan lebih cerah,” katanya. – MalaysiaGazette