KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mengisytiharkan hartanya dengan aset bersih berjumlah RM808,761.
Menurut dokumen yang dimuatnaik, aset bersih Nurul Izzah setakat 30 September lalu meliputi wang tunai dan simpanan berjumlah RM105,000, dua jenis pelaburan yang bernilai RM400,000 dan satu hartanah bernilai RM1.06 juta.
Seterusnya, calon Pakatan Harapan di Parlimen Permatang Pauh itu memiliki sebuah Proton X70 bernilai RM94,000, karya seni dan barang kemas yang masing-masing bernilai RM5,000.
Setakat ini, antara calon PKR dilihat tertinggi mempunyai jumlah pendapatan bersih setakat 30 September lalu adalah calon Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Mohamad Supardi Md Noor (RM106 juta) dan calon Parlimen Sungai Buloh, R Ramanan (RM63.5 juta).
Calon Parlimen Pandan, Rafizi Ramli tampil mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih sebanyak RM18.85 juta manakala Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebanyak RM11.1 juta.
PKR menetapkan semua calonnya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 dikehendaki mengisytiharkan harta mereka kepada parti, namun keputusan untuk menerbitkannya tidak pernah berlaku sebelum ini. – MalaysiaGazette