KUALA LUMPUR – Petronas Dagangan Berhad (PDB) memeterai dua memorandum persefahaman (MoU) antara tiga pihak dengan peserta industri utama iaitu, Gentari Green Mobility Sdn Bhd, EP Blueshark Sdn Bhd, Blueshark Holding Limited dan Handal Indah Sdn Bhd bagi mempercepatkan penggunaan mobiliti elektrik.

Perkongsian strategik ini akan mengukuhkan lagi peranan penting PDB dalam keseluruhan rantaian nilai mobiliti elektrik bersepadu dengan melancarkan stesen penukaran bateri untuk kenderaan dua roda elektrik; dan infrastruktur pengecasan untuk bas elektrik, kedua- duanya di stesen  Petronas.

Melalui  pelaburan  ini,  PDB  berhasrat  untuk menyokong usaha penyahkarbonan pelanggannya dan memenuhi keperluan mobiliti elektrik  mereka, memanfaatkan keupayaannya dan rangkaian stesen yang luas.

Pada majlis menandatangani perjanjian itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB Azrul Osman Rani berkata, dalam usahanya mempelbagaikan perniagaan bukan bahan api kami, syarikat itu  juga mempergiatkan usaha menyokong mobiliti elektrik bagi merealisasikan potensi pertumbuhan pasaran EV.

Ini diperkukuhkan lagi melalui kerjasama antara PDB dan Gentari, bersama EP Blueshark, Blueshark Holding Limited dan Handal Indah untuk mewujudkan ekosistem yang lebih kondusif untuk pengguna EV, katanya.

MoU pertama adalah mengenai kerjasama dalam perniagaan penukaran bateri dua roda elektrik telah ditandatangani oleh Azrul, Pengerusi Eksekutif EP Blueshark, Hamidon Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Blueshark Holding Limited, Jeff Chong Chen Wai.

MoU ini akan menyaksikan semua pihak bekerjasama dalam pembangunan perniagaan, bermula dengan pemasangan Stesen Tukar Bateri di sembilan stesen PETRONAS dalam pelaksanaan perintis dua peringkat. Pihak berkenaan kemudiannya akan meneroka kerjasama selanjutnya di sepanjang rantaian nilai kenderaan dua roda elektrik.

Pengerusi Eksekutif EP Manufacturing Berhad (EPMB), Hamidon Abdullah berkata, syarikat itu teruja kerana PDB mengiktiraf usaha dan keupayaan EV miliknya.

”Pendekatan kami ialah pendekatan berasaskan sistem untuk dilaksanakan bersama rakan kongsi utama kami. Kerjasama ini adalah mengenai meneroka rantaian nilai berpotensi tinggi di masa hadapan, dan cara kami boleh meletakkan diri kami dan rakan kongsi kami untuk mendapat manfaat daripada teknologi EV yang berkembang. Kami sangat gembira dan berbesar hati untuk bersama PDB dalam perjalanan ini,” ujarnya.

Manakala MoU kedua melibatkan kerjasama dalam infrastruktur pengecasan bas elektrik komersial.

Melalui MoU ini, tiga stesen Petronas di Johor akan dipasang dengan pengecas DC pantas EV untuk memberi peluang pengecasan untuk bas elektrik Handal Indah yang beroperasi di laluan itu, serta kepada orang ramai.

Projek perintis ini akan menyediakan PDB dengan pengalaman yang lebih mendalam, sebelum merangka penyelesaian terperinci kepada perniagaan yang berdaya maju untuk PDB. – MalaysiaGazette