KUALA LUMPUR – Calon Parlimen Port Dickson dari Gerakan Tanah Air (GTA) di bawah logo Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Ahmad Idham Ahmad Nazri mengakui kehadiran pengunjung dan pelancong yang semakin berkurangan di Port Dickson sejak sektor pelancongan dibuka selepas berdepan pandemik Covid-19.
Beliau yang juga pelakon dan pengarah berkata, keluhan dan luahan hati itu didengari dalam kalangan peniaga di kawasan pantai terkenal itu.
“Sektor pelancongan antara nadi utama di Port Dickson yang mewujudkan peluang-peluang perniagaan kepada masyarakat tempatan di sini.
“Namun saya dapati beberapa kelompongan yang harus kita beri penekanan awal untuk ditambah baik bagi memudahkan para pengunjung yang hadir antaranya fasiliti awam seperti tandas dan surau,” katanya di laman Facebook miliknya.
Sebelum itu, beliau bertemu dengan peniaga pantai sambil menyapa dan mendengar keadaan peniaga kedai baju dan cenderahati di sekitar Pantai Teluk Kemang, Port Dickson.
Ahmad Idham menambah, melalui data yang perolehnya terdapat banyak kedai peniaga asing dan tidak berlesen yang menjalankan perniagaan di sini, sekaligus ini memberi saingan kepada peniaga tempatan yang berlesen.
“Ada yang meluahkan kepada saya berkenaan wujudnya elemen kronisme dalam urusan lesen dan beberapa perkara berbangkit yang lain.
“Perkara ini kita akan perhalusi secara lebih terperinci sebelum kita menyusun langkah untuk mengambil tindakan bagi menyelesaikan permasalahan ini.
“Insya-Allah! setiap penyakit ada ubatnya dan setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Idham yang juga Ketua Penerangan Gerakan Tanah Air (GTA) Negeri Sembilan akan berdepan calon Barisan Nasional (BN), Datuk P Kamalanathan, Datuk Seri Aminuddin Harun (Pakatan Harapan), Rafiei Mustapha (Perikatan Nasional) dan Abdul Rani Kulup Abdullah (Bebas) pada Pilihan Raya Umum Ke-15, 19 November ini. – MalaysiaGazette
okla tu.. bg tu la ape yg nk dirancang.. 19hb nak pangkah ni