PETALING JAYA – Pakatan Harapan (PH) tidak bertindak ‘copy and paste’ dalam membuat tawaran manifesto pilihan rayanya.
Menurut Ahli Jawatankuasa Manifesto PH, Nik Nazmi Nik Ahmad, ia selari dengan perubahan semasa kerajaan dan juga golongan sasaran semasa Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).
“Manifesto tiap-tiap PRU berbeza sebab kita lihat keadaan fiskal kerajaan dan kedudukan kewangan kerajaan hari ini apabila hutang kerajaan terlalu tinggi kita merasakan pendekatan yang lebih fokus kepada golongan B40 lebih lestari untuk kita bergerak kehadapan,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR, hari ini.
Ditanya mengapa manifesto PH tidak menyenaraikan pendidikan percuma seperti PRU14 lalu, Nik Nazmi berkata, pelaksanaan itu perlu mengambil kira faktor kewangan kerajaan.
“Sama seperti BN, Pas semua parti akan ada manifesto di setiap PRU dan tidak akan copy paste manifesto yang sama sebab keadaan berubah, keadaan kewangan negara dan keadaan ekonomi berubah,” katanya lagi.
Nik Nazmi semasa berkempen pada PRU 2018 berkata, PH berjanji untuk memberikan pendidikan yang percuma dan adil jika gabungan itu memenangi kerajaan Persekutuan.
Pada 2 November lalu, PH menggariskan 10 keutamaan untuk direalisasikan segera, antaranya membabitkan kos sara hidup, memerangi rasuah dan memperkasa wilayah Sabah dan Sarawak, sekiranya mendapat mandat membentuk kerajaan pada PRU15.
Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keutamaan itu bermatlamat menjamin kesejahteraan rakyat secara menyeluruh menerusi pertumbuhan ekonomi, memulihkan keyakinan umum menerusi pentadbiran beramanah dan menyediakan negara untuk berdepan pelbagai cabaran masa depan.
Tawaran berkenaan turut melibatkan pemerkasaan peluang ekonomi belia; menyelamatkan generasi tercicir dalam pendidikan; membina ketahanan bencana dan memantapkan perlindungan; menangani isu doktor kontrak dan menjamin kebajikan penjawat kesihatan; menghapuskan isu ketaksamaan gender dan memperkasa sosioekonomi wanita; meningkatkan daya saing rakyat dan memelihara khazanah alam. – MalaysiaGazette