KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedia membatalkan watikah pencalonan R. Ramanan yang bertanding di Parlimen Sungai Buloh, sekiranya beliau telah melanggar undang-undang negara ini.
Namun Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sehingga ke hari ini tiada bukti dan fakta kesalahan yang membabitkan Ramanan.
Malah jelasnya, apa yang disampaikan kepada beliau tentang bekas pemimpin MIC itu adalah sekadar persepsi dan cakap-cakap kosong.
“Sebarang tuduhan perlu disertakan dengan bukti dan fakta yang kukuh. Semua calon kita (PH), saya telah semak dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), setakat yang saya mampu.
“Persepsi orang cakap (terhadap Ramanan) itu lain. Baru-baru ini pun ada orang cakap, saya ejen Israel, kita tak boleh sokong Anwar kerana dia LGBT, ejen Amerika lah, dan banyak ejen lain.
“Saya pertahankan (Ramanan) walaupun ada soalan-soalan (berbangkit), dan ini kita semak semula dan ambil perhatian, tetapi tiada (bukti). Yang ada pun dulu dia MIC, itu sahaja, tetapi beliau lawan UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan seorang peserta pada syarahan perdana ‘Ada Apa Dengan Korupsi’, di sini, hari ini.
Soalan yang dikemukakan berkisar kegusaran akar umbi mengenai calon PH itu yang didakwa terlibat dengan korupsi walaupun PKR sinonim dengan parti yang menentang budaya rasuah.
Sebelum ini, Ramanan telah mengisytiharkan RM63.5 juta dalam aset bersih, termasuk RM4 juta dalam bentuk barang kemas, RM27 juta untuk kediaman, RM8.5 juta bagi kereta dan motosikal dan RM3.5 juta dalam saham dan skim pelaburan insurans.
Bagaimanapun, beliau mengelak daripada memberikan butiran aset, liabiliti dan perbelanjaannya, sebaliknya memberikan angka penuh.
Pada 2014, Ramanan telah meletak jawatan sebagai Bendahari MIC ekoran kes penipuan yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Mahkamah Tinggi memerintahkan Ramanan mengembalikan RM5.5 juta kepada pakar psikiatri, Tan Sri Dr M. Mahadevan.
Ramanan didakwa memperdaya Mahadevan dengan memberitahu beliau boleh mendapatkan semula hutang RM26 juta daripada Kementerian Pertahanan.
Ramanan merupakan Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga calon PH untuk Parlimen Tambun berkata, jika ada bukti dan fakta, kemukakan kepadanya dan beliau akan membatalkan pencalonan Ramanan.
“Saya akan batalkan, kerana sebelum saya tandatangani watikah ini, saya kena ada pengetahuan yang jelas bahawa ini tidak akan menjejaskan PH dan PKR.
“Oleh kerana orang bertanya, saya tunggu, tapi setakat saya (terima) hanyalah bisik begitu, bisik begini, tiada bukti dan saya percaya beliau akan menang di (Parlimen) Sungai Buloh,” katanya. – MalaysiaGazette